Friday, 11 August 2017

Kenapa perlu bezakan cawan murid Muslim dan bukan Muslim tanya Mufti Perak

Tags

PETALING JAYA: Dasar sebuah sekolah rendah di Selangor mengasingkan bekas minuman murid Islam dan bukan Islam disifatkan mufti Perak sebagai perkauman di samping mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.

“Kenapa mesti kita bezakan?” soal Tan Sri Harussani Zakaria ketika dihubungi akhbar FMT.

“Ia tak patut dibuat. Sepatutnya kita tahu hukum. Jangan kita terlalu ‘rigid’ sampai kita (menimbulkan) kebencian orang. Tak usah begitu. Islam cukup menjaga hubungan sesama manusia ini,” katanya.

Semalam, kunjungan akhbar dalam talian tersebut di Sekolah Kebangsaan Taman Puteri di Hulu Langat mendapati cawan yang diletakkan bersebelahan sebuah mesin “watercooler” di salah sebuah blok sekolah itu dilabelkan “MURID ISLAM” dan “MURID BUKAN ISLAM”.

Pihak berkuasa sekolah enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkara itu, tetapi beberapa ibu bapa termasuk beragama Islam mempersoalkan peraturan itu.

“Mengasingkan bekas minuman orang Islam dan bukan Islam memberi gambaran buruk kepada orang lain, seolah-olah Islam ini agama keras,” kata Norsarina Zakaria kepada FMT.

Dasar itu turut diselar Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon, yang berkata pihaknya sedang menunggu penjelasan Jabatan Pendidikan.

“Sekolah kebangsaan merupakan sekolah untuk semua tanpa mengira kaum dan agama,” kata Chong.

Ia turut mengundang kecaman kumpulan moderat Melayu G25.

“Perkara seperti ini hanya akan mememecahbelahkan rakyat kononnya atas nama amalan keagamaan,” kata jurucakap G25, Johan Arriffin. “Menyediakan cawan asing sesuatu yang bodoh.”

Difahamkan dasar pengasingan cawan itu bermula tahun lepas di bawah guru besar sekolah berkenaan, yang sudah dipindahkan selepas tamat tempoh 4 tahun berkhidmat.

Harussani menyeru amalan itu dihentikan, sambil menambah ia tidak berasas walaupun atas alasan bukan Islam memakan makanan yang diharamkan ke atas umat Islam.

“Walaupun dia bukan Islam, walaupun makan babi, tak bererti bibir dia itu najis,” katanya.

“Cawan yang dipakai bukan Islam kita boleh pakai. Periuk dimasak bukan Islam, boleh pakai.

“Perbuatan itu satu penghinaan. Jangan kita buat,” kata Harussani.

Sumber: Free Malaysia Today




Google+ Followers