Thursday, 17 August 2017

Kementerian ambil pendekatan NBOS untuk 'sekolah hotspot'

Tags


KEPALA BATAS - Kementerian Pendidikan akan mengambil pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk menangani masalah di setiap sekolah 'hotspot' yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihak kementerian memperoleh maklumat mengenai sekolah yang mempunyai tahap disiplin serius sehingga menimbulkan pelbagai masalah daripada pihak sekolah sendiri dan mengambil langkah proaktif untuk mengekang isu itu.

"Sekolah hotspot ini adalah sekolah yang ada masalah berkaitan disiplin, penyalahgunaan dadah, jenayah dan masalah-masalah lain seperti tahap kehadiran yang sangat lemah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program D'PKG Guru Muda 1Malaysia Cafe di Pusat Kegiatan Guru Kepala Batas di sini, malam tadi.

Beliau berkata sehubungan itu, sebuah mesyuarat jawatankuasa induk yang akan bertindak khusus untuk menangani masalah-masalah salah laku di sekolah termasuk sekolah rendah dan menengah itu diwujudkan di peringkat kementerian.

"Kementerian kemudiannya akan turunkan kuasa kepada pengarah-pengarah (pendidikan) untuk ambil tindakan lanjut dan wujudkan jawatankuasa khas seumpama ini di peringkat negeri pula.

"Antara agensi-agensi yang terlibat melalui strategi NBOS ini adalah polis, persatuan ibu bapa dan guru, badan bukan kerajaan serta alumni setiap sekolah," katanya.

Difahamkan pihak kementerian telah mengemukakan senarai 402 sekolah hotspot di seluruh negara kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan semua pegawai perhubungan sekolah diarahkan mengambil tindakan proaktif untuk menangani masalah itu. - Bernama



Google+ Followers