Tuesday, 15 August 2017

'Jadikan 'SYMP' aset, bukan beban' - TPM

SERDANG: Pesara kerajaan yang mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan disaran menyalurkan pendapat secara berhemah walaupun tidak lagi tertakluk atas arahan 'Saya Yang Menurut Perintah', kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang menggunakan singkatan 'SYMP' berkata, bekas penjawat awam harus kekal menjadi aset negara dan bukannya bebanan.

Katanya, pesara kerajaan perlu berpegang terhadap adab yang dituntut Islam dan agama masing-masing, selain memperbetulkan persepsi atau perbezaan pendapat demi kebaikan bersama.

"Golongan pesara kerajaan perlu mengamalkan adab dan tatasusila dalam melontarkan perbezaan pendapat masing-masing walaupun tidak lagi berada dalam organisasi kerajaan.

"Walaupun sudah keluar daripada kepompong 'SYMP' iaitu tidak lagi melaksanakan 'Saya Yang Menurut Perintah' kerajaan, segala pandangan perlu disalurkan secara berhemah," katanya berucap merasmikan Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Seramai 7,500 pesara dan bakal pesara sektor awam dan veteran tentera menghadiri perhimpunan itu.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melakukan prapelancaran 'My Beautiful Life for Seniors' (BLFS), iaitu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas memperoleh kehidupan yang terus produktif dan menjalani kehidupan dengan lebih manfaat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BLFS akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Oktober ini sempena Hari Warga Emas.

"Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memberi peluang dan perkhidmatan lebih baik kepada warga emas di seluruh negara," katanya.

Sumber: Berita Harian


Google+ Followers