Wednesday, 23 August 2017

Jadikan CPR subjek wajib di sekolah

Tags

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - St John Ambulance Sarawak (SJAS) meminta kerajaan Persekutuan dan negeri menjadikan bantuan Pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) sebagai subjek wajib di semua sekolah di negara ini.

Pengerusi dan Komandan SJAS Datuk Seri Ang Lai Soon berkata kaedah menyelamat nyawa itu perlu dijadikan subjek wajib bukan sahaja di sekolah kebangsaan malah di sekolah antarabangsa, swasta dan institusi pengajian tinggi.

“Kaedah menyelamat nyawa ini boleh diguna pakai dalam pelbagai keadaan kecemasan termasuk serangan jantung atau hampir lemas ketika pernafasan atau denyutan jantung seseorang terhenti secara tiba-tiba.

“Saya berpendapat cara paling berkesan untuk menyelamatkan nyawa ialah dengan melakukan CPR. Sejak beberapa tahun lepas, syor dibuat supaya sesiapa sahaja termasuk seseorang yang tidak terlatih, perlu melakukan CPR dengan cara menekan dada (jika berdepan situasi tersebut),” katanya pada majlis SJAS Mass CPR 2017 di Kuching baru-baru ini.

Menurutnya adalah amat baik sekiranya setiap orang tahu melakukan CPR kerana ia boleh menyelamatkan nyawa.

“Oleh itu, setiap orang perlulah tahu cara melakukan CPR dan sekolah harus menjadikan kemahiran ini sebagai subjek wajib kerana kita tidak mahu hidup dengan penuh kekesalan di kemudian hari,” katanya.

Ang juga percaya mereka yang tinggal di luar bandar, khususnya di kampung- kecil di seluruh negara, akan mendapati CPR sangat berguna semasa kecemasan.

Dalam keadaan kemudahan perubatan yang terhad atau tidak memuaskan, mereka sekurang-kurangnya boleh bergantung pada CPR untuk menyelamatkan nyawa, katanya.

Beliau juga merayu kepada pihak pengurusan premis awam dan persendirian supaya memasang ‘defibrillator’ dan melatih staf masing-masing mengenai CPR, pertolongan cemas dan kemahiran kejururawatan yang merupakan sesuatu yang diwajibkan di kebanyakan tempat di negara maju. - Bernama

Google+ Followers