Wednesday, 23 August 2017

Ibu bapa terlalu melindungi sukarkan tugas guru?

Tags

Gambar hiasan
MASIH ingatkah anda dahulu betapa guru sekolah amat dihormati dan disayangi tidak kira segarang mana pun mereka, malah sekiranya anda dipukul guru dan pulang mengadu pada ibu bapa maka habuan yang lebih lagi anda akan dapat.

Bukan bermakna guru sekarang tidak lagi dihormati atau disayangi cuma, keadaan kini dengan sikap segelintir ibu bapa yang terlalu melindungi anak mereka membuatkan tugas seorang guru semakin sukar.

Sudah acap kali rasanya kita melihat tajuk di muka akhbar bagaimana guru disaman, diserang dan pelbagai lagi hanya kerana mendenda anak muridnya, malah ada juga yang dipecat kerana sebab sedemikian.

Terbaru, seorang bapa membuat laporan polis berhubung anaknya yang berusia 12 tahun dipukul guru di kepala dan tengkuknya menggunakan buku teks.

Katanya, dia kesal dengan sikap guru tersebut dan bimbang kejadian tersebut akan menggangu emosi anaknya yang bakal mengambil UPSR, selain turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam terhadap diri dan anaknya.

Ya, zaman kini sudah berubah, semuanya di hujung jari membuatkan anak-anak semakin manja, tidak boleh disentuh langsung. Itu tanggapan netizen.

Pengguna Facebook, Fitrey Peteh mendakwa dia pernah kena lebih teruk daripada gurunya dahulu.

"Anak pakcik kira OK kena buku teks, saya dulu kena hentak kepala kat papan hitam, hanya kerana saya bebal dalam subjek matematik, hasilnya sekarang saya dah berjaya," tulisnya.

Pendapatnya turut disokong pengguna Facebook, Mohd Zulkiflie.

"Ceh, aku dulu lambat masuk kelas, cikgu pukul pakai tukul besi kat kepala, rilek jer. Nak suruh anak jadi orang ni kena didik sikit," tulisnya.

Pengguna Facebook, Zan Shukri turut mengimbau kenangan denda beliau semasa di zaman persekolahan dahulu.

"Dulu aku pernah kena, tiada pun buat laporan polis. Sifat seorang guru buat salah, pukul dan macam-macam lagi denda.

"Ada yang kena dengan buku, kayu, rotan. Kena baling tu perkara biasa, pemadam papan hitam, kapur dan macam-macam lagi. Tiada pun yang kecoh," tulisnya.

Ada juga yang cuba memberikan rasional seorang guru mendenda anak muridnya seperti pengguna Facebook, Ase Trooper.

"Bab cikgu pukul anak mesti ada sebab, kalau ibu bapa tidak puas hati, ajar sendiri anak dirumah," tulisnya.


Bagaimanapun, ada juga yang memberi idea denda lain kepada guru dalam usaha mengajar anak-anak murid nakal di sekolah.

"Ketika saya disekolah 40 tahun yang lalu, guru tidak memukul saya tapi mendenda saya menulis 100 perkataan 'saya akan siapkan kerja sekolah di rumah', Alhamdulillah denda tersebut membuatkan tulisan saya menjadi lebih kemas.

"Anak saya dahulu pun ketika usianya lima tahun, saya menggunakan kaedah menghukum dengan denda mengambil wudhuk," tulisnya.

Sementara itu, terdapat kajian oleh seorang Profesor Psikologi di Kolej Calvin Michigan, Marjorie Gunnoe melihat bahawa kanak-kanak sehingga usia enam tahun yang pernah dipukul (tidak secara keterlaluan) mempunyai prestasi yang lebih bagus di sekolah serta lebih optimistik dalam hidup mereka berbanding kanak-kanak yang tidak pernah dipukul.

Sementara itu, guru perlu bijak mengawal emosi dan tidak menjatuhkan hukuman ke atas murid tanpa merujuk pihak atasan terlebih dahulu, memandangkan sensitiviti bidang pendidikan kini begitu meluas.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Ghazali Taib berkata, setiap guru perlu lebih berhati-hati dalam mengenakan hukuman supaya tidak menimbulkan polemik atau keadaan tidak selesa kepada murid, ibu bapa dan masyarakat.

Google+ Followers