Thursday, 10 August 2017

Padah hantar mesej lucah kepada cikgu depan sekolah

Tags

KUALA TERENGGANU - Padah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah kepada seorang guru, seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Basyir Abu Bakar, 27, berdepan dengan 10 pertuduhan iaitu menggunakan aplikasi iaitu SMS secara sedar dan membuat penghantaran komunikasi lucah ke nombor lain, dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Mac 2016, kira-kira jam 12.40 pagi hingga 4 Mac 2016, kira-kira jam 6.08 petang, yang mana SMS itu dibaca di sebuah premis tidak bernombor di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri, Kampung Tok Has, Jerteh, Besut.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Mohammad Haldar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan, sebelum 5 hari bulan sehingga kes itu selesai.

Dia juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan jika melanggar syarat-syarat itu, jaminan akan ditarik balik.

Mahkamah turut menetapkan 18 September depan untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Muhamad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Sumber: Sinar Harian


Google+ Followers