Tuesday, 8 August 2017

Guru bersama dengan kerajaan BN - Mahdzir

Tags

Imej via Utusan
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Andaian yang sering dicanangkan pihak tertentu kononnya para guru le­bih cenderung kepada pihak pembangkang adalah tidak benar.

Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid percaya majoriti golongan pendi­dik itu memberi sokongan dan bersama dengan kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN).

“Guru pada saya untuk kali ini bersama dengan kerajaan.

“Kalau ada sikit-sikit itu, kita harap mereka boleh faham bahawa UMNO dan BN merupakan kerajaan yang melihat kepada semua perkara termasuklah kakitangan awam, yang juga melibatkan para pendidik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan di Kelab Golf Negara, Subang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Jamaludin Razali dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Mahdzir mempersoalkan tujuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengadakan jelajah dengan menggunakan lori di seluruh negara kononnya mahu memberi kesedaran kepada rak­yat untuk bersama dengan beliau membina semula negara.

Mahdzir percaya taktik digunakan Ahli Parlimen Pandan itu sengaja mahu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan semata-mata mahu meraih undi pada pilihan raya umum akan datang sahaja.

“Beliau mahu bina semula negara? Apa yang mahu dibina? Beliau kata mahu bina negara yang telah rosak? Di mana rosaknya?” jelas beliau.

Berhubung tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dari PKR, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana menolak soalannya berkaitan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Mahdzir menjelaskan itulah warna sebenar pembangkang.

Beliau berkata, sepatutnya Loy Sian bercakap secara elok kepada Pandikar Amin di dalam Parlimen dan bukannya membawa terus perkara itu ke mahkamah sehingga memberi gambaran tidak baik kepada negara serta institusi Parlimen.

Sumber: Utusan Malaysia


Google+ Followers