Friday, 11 August 2017

29.2 peratus remaja ada masalah kesihatan mental

Tags

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,343 buah sekolah terlibat dalam saringan minda sihat melalui Program Minda Sihat Sekolah yang telah bermula sejak tahun 2011.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, program tersebut merupakan kolaborasi yang dibuat Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, mengikut kajian yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015, prelevan masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa berumur 16 tahun ke atas adalah 29.2 peratus.

"Peratusan ini merujuk kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental dan bukannya penyakit mental," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rubiah Wang (BN - Kota Samarahan) yang meminta kementerian menyatakan kolaborasi strategik bagi mengatasi masalah kesihatan mental golongan remaja yang mengakibatkan perilaku ganas seperti buli di sekolah dan pendidikan tinggi.

Tambah Hilmi, impak daripada program ini, modul intervensi serta program pencegahan dihasilkan bagi meningkatkan kemahiran gaya daya tindak pelajar apabila berhadapan sesuatu masalah termasuk kejadian buli.

"Selain itu, pelajar yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan mental hasil daripada saringan minda sihat ini akan dirujuk ke fasaliti kesihatan yang berdekatan setelah mendapat persetujuan daripada ibu bapa serta penjaga.

"Sehingga kini, kementerian menyediakan perkhidmatan psikiatri di empat buah institusi mental dan 48 hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Di peringkat kesihatan primer juga terdapat sebanyak 671 buah klinik kesihatan yang memberikan perkhidmatan kesihatan mental," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan juga dalam usaha mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melaksanakan saringan minda sihat bagi pelajar kolej komuniti.

Jelasnya, usaha ini diharap dapat memberi pendidikan dan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental selain mengenal pasti pelajar yang mungkin mengalami masalah kesihatan mental.

Sumber: Sinar Harian




Google+ Followers