Wednesday, 26 July 2017

Murid dakwa ditendang, ditampar guru, terjatuh sendiri - Polis

Tags

Imej via NSTP

TAWAU: Murid perempuan Tahun Empat sebuah sekolah rendah di daerah ini yang mendakwa cedera akibat ditendang dan ditampar gurunya, sebenarnya terjatuh sendiri ketika membeli makanan di luar kawasan sekolah.

Siasatan polis mendapati murid terbabit mereka-reka cerita mengenai kejadian itu kerana bimbang dimarahi ibu bapanya jika mendapat tahu perkara sebenar.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata keterangan semua saksi termasuk rakan sekelas murid terbabit juga konsisten menyatakan guru lelaki terbabit tidak melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berkenaan.

Berikutan itu, katanya, pengadu iaitu ibu murid berkenaan telah menarik balik laporan polis yang dibuat pada 10 Julai lalu, selain memohon polis tidak meneruskan siasatan.

"Pengadu juga telah memohon maaf kepada guru terbabit dan pihak sekolah," katanya ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu, Fadil berkata, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengambil keputusan kes berkenaan tidak diteruskan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang murid perempuan Tahun Empat mendakwa ditendang dan ditampar oleh guru sekolahnya kononnya kerana lewat masuk kelas.

Ibu kepada murid terbabit kemudian membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas dia mengadu sakit pada bahagian kaki, selain tidak dapat berdiri.

Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Google+ Followers