Tuesday, 4 July 2017

KPM tidak sekat guru mangsa buli buat laporan polis

Tags

Foto via Utusan Online
ALOR SETAR 3 Julai – Kementerian Pendidikan tidak pernah menyekat mana-mana guru yang menjadi mangsa buli pelajar bermasalah untuk tampil membuat laporan polis hanya kerana mahu melindungi reputasi sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Ma­hdzir Khalid berkata, guru yang dibuli pelajar bermasalah perlu berani tampil membuat aduan polis.

Katanya, kes guru turut menjadi mangsa buli jarang didengar kerana kebanyakan mereka takut untuk melaporkan kepada pihak polis kerana bimbang akan ke­selamatan diri apabila berada di luar sekolah.

“Memang ada kes guru turut menjadi mangsa buli pelajar, tapi di sekolah-sekolah tertentu sahaja. Mereka (pelajar) mungkin takut nak mencederakan guru, tapi harta benda guru se­perti kereta yang akan menjadi mangsa.

“Dalam hal ini guru yang tidak mahu buat laporan (polis) kerana tidak mahu memanjangkan cerita selain turut bimbang akan diancam oleh pelajar yang terlibat dalam gengsterisme di luar sekolah.

“Kita tidak menghalang, sebaliknya menggalakkan mana-mana guru yang turut menjadi mangsa buli untuk membuat laporan polis demi memben­dung penularan budaya gengsterisme di sekolah,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Kolej Vokasional Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang bahawa terdapat guru turut menjadi mangsa buli sekali gus menyumbang kepada peningkatan budaya gengste­risme di negara ini.

Dalam perkembangan sama Mahdzir berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme atau buli ke mana-mana pusat pemulihan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita (Kementerian Pendidikan) tidak akan berkompromi de­ngan pelajar-pelajar yang terlibat dalam aktiviti gangsterisme atau buli. Mereka boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati bersalah.

“Kalau boleh kita tidak mahu pelajar bermasalah yang telah dikenal pasti oleh pihak sekolah dan polis berada dalam sekolah yang mana boleh menjejaskan pelajar lain. Kita sedia membantu ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka yang tidak digantung persekolahan ke mana-mana institusi pemulihan.

“Ini bagi melibatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada kesedaran,” ujarnya yang bersetuju sekiranya pihak polis mengambil alih dan menyelesaikan mana-mana kes yang melibatkan unsur jenayah di sekolah.



Google+ Followers