Tuesday, 4 July 2017

Kementerian Pendidikan setuju polis kendali kes buli di sekolah

Tags

PADANG TERAP 4 Julai - Kementerian Pendidikan bersetuju agar polis mengendalikan kes buli yang kian menjadi-jadi berbanding pihak sekolah ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketegasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu diyakini mampu mengekang perkara tersebut daripada terus berleluasa.

“Isu buli sememangnya sebahagian daripada kes jenayah. Justeru tidak ada salahnya kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu dan saya menyokongnya.

“Selama ini pun kami sememangnya membuka ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan sekiranya diperlukan. Pihak sekolah pun tidak menyembunyikan kes yang besar,” katanya.

Belia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Menarik Di Padang Terap di Dataran Padang Terap di sini hari ini.

Ketegasan Ahmad Zahid berhubung perkara itu dibuat sebagai reaksi terhadap cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang mahukan satu prosedur bagi memberi kuasa kepada pihak polis melakukan siasatan dan mengambilalih kes buli di sekolah. - UTUSAN ONLINE


Google+ Followers