Wednesday, 5 July 2017

Kabinet putus wajib lulus BM peringkat SPM untuk jawatan UD41

KUALA LUMPUR: Kabinet putuskan Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak baharu mesti lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata langkah itu bagi mewujudkan keseragaman dalam lantikan. Beliau menjelaskan Kementerian Pendidikan akan membantu mewujudkan peperiksaan BM peringkat SPM yang boleh diambil secara tunggal tanpa membabitkan subjek lain.

Katanya, lantikan kontrak untuk Pegawai Perubatan Gred UD41 diperkenalkan sejak Disember 2016 kerana kebanjiran graduan perubatan.

"Ketika lantikan ini, kita menghadapi situasi yang mana sekumpulan kecil (graduan) tidak dapat mengikuti sistem pendidikan seperti di negara ini kerana mengikut ibu bapa bekerja di luar negara.

"Sistem pendidikan mereka berbeza dengan negara ini dan tidak mengambil subjek BM. "Daripada sejumlah 4,500 lantikan kontrak sejak 2016 hingga kini, hanya 23 daripada mereka yang berdepan situasi tidak mempunyai kelulusan dalam Bahasa Melayu," katanya pada sidang media di sini.

Isu tercetus beberapa hari lalu apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat SPM kepada graduan perubatan yang dilantik secara kontrak.

Sumber: BH Online


Google+ Followers