Monday, 3 July 2017

Guru juga mangsa buli pelajar

Tags

Foto via FB Mahdzir Khalid
ALOR SETAR 3 Julai - Kementerian Pendidikan menyeru agar mana-mana guru yang dibuli pelajar bermasalah tampil membuat aduan polis.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat guru yang menjadi mangsa buli dalam kalangan pelajar bermasalah di sekolah namun tidak serius.

Katanya, kes guru turut menjadi mangsa buli jarang didengar kerana kebanyakan mereka takut untuk melaporkan kepada pihak polis kerana bimbang akan keselamatan diri apabila berada di luar sekolah.

“Memang ada kes guru turut menjadi mangsa buli pelajar tapi di sekolah-sekolah tertentu sahaja... mereka mungkin takut nak mencederakan guru tapi harta benda guru seperti kereta yang akan menjadi mangsa.

“Guru yang menjadi mangsa yang tidak mahu buat laporan (polis) kerana tidak mahu memanjangkan cerita selain turut bimbang dengan keselamatan diri mereka akan diancam oleh pelajar yang terlibat dalam gengsterisme,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Kolej Vokasional Alor Setar di sini hari ini.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan tidak menghalang sebaliknya menggalakkan mana-mana guru yang turut menjadi mangsa buli untuk membuat laporan polis demi membendung penularan budaya gengsterisme di sekolah.

Sumber - UTUSAN ONLINE



Google+ Followers