Monday, 31 July 2017

Gabung kelas, sekolah untuk Sekolah Kurang Murid (SKM)

Gambar hiasa via Cikgu Perus
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,058 sekolah kebangsaan (SK) di seluruh negara diletakkan dalam kategori sekolah kurang murid (SKM) iaitu mempunyai murid kurang daripada 150 orang.

Sebanyak 578 sekolah jenis kebangsaan Cina dan 360 sekolah jenis kebangsaan Tamil turut dikategorikan sebagai SKM.

Daripada jumlah itu, 132 SKM mempunyai murid seramai 20 orang ke bawah, manakala 44 sekolah mempunyai kurang daripada 10 murid.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kementerian mempunyai dua kaedah bagi menangani masalah 2,996 SKM di seluruh negara ini iaitu kelas bercantum dan sekolah bergabung.

"Kementerian sudah menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Kelas Bercantum di SKM dan penggabungan sekolah, tahun lalu bagi menangani perkara ini.

"Bagi Kelas Bercantum, murid Tahun Dua dan Tahun Tiga dicantumkan dalam satu kelas, begitu juga dengan murid Tahun Empat yang disatukan dengan murid Tahun Lima.

"Murid Tahun Satu dan Tahun Enam, tidak terbabit dan mereka kekal belajar di dalam kelas sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti), yang bertanya mengenai kajian untuk menggabungkan SKM di Sarawak, di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kaedah kedua ialah Sekolah Bergabung iaitu beberapa sekolah digabungkan menjadi satu sekolah.

Berdasarkan kajian rintis yang dijalankan di Kuala Lumpur, tiga sekolah iaitu SK Jalan Pasar digabungkan dengan SK Jalan Pasar 2 dan SK (L) Jalan Pasar, digabungkan menjadi satu.

"Di Parlimen Sibuti umpamanya, terdapat 27 SKM yang boleh digabungkan mengikut kesesuaian pelaksanaannya berdasarkan kajian rintis berkenaan.

"Penggabungan SKM ini boleh dilaksanakan secara berperingkat terutama untuk sekolah yang dalam lingkungan lima kilometer dari sekolah asal," katanya.

Mahdzir berkata, jika penggabungan sekolah dilaksanakan, satu komponen yang perlu dibina adalah asrama bagi kemudahan murid.

Google+ Followers