Friday, 16 June 2017

Mata Pelajaran Budi Wajib Di Sekolah, IPT

Tags

PEKAN 18 April - Mata pelajaran budi perlu diwujudkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan rakyat negara ini bertamadun dan mengamalkan nilai murni serta sahsiah budaya yang disegani.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu penting kerana masyarakat kini dilihat semakin hilang punca terutama dalam aspek berkaitan budaya dan budi bahasa.

'Kita ambil contoh berkaitan kematian, ada sesetengah pihak yang tidak tahu bagaimana bentuk bahasa yang hendak digunakan, mereka sewenang-wenangnya guna perkataan kesat dan tidak disenangi masyarakat lain.

'Masalah ini berlaku disebabkan kurangnya aspek pendidikan berkaitan budi bahasa dalam kalangan masyarakat yang jika tidak dilakukan sesuatu pada hari ini, tamadun Malaysia pasti akan hilang,' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Kembara Akar Budi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampung Baru Salong, di sini hari ini.

Seramai 200 warga UIAM dari kampus Gombak, Selangor dan Kuantan termasuk 100 penuntut universiti berkenaan me­nyertai program empat hari bermula semalam yang julung-julung kali diadakan itu.

Rais berkata, silibus berkenaan tidak semestinya dijadikan subjek tetap, sebaliknya cukup dengan guru-guru atau cendekiawan bidang berkenaan yang boleh mendidik dan menanam nilai tersebut dalam masyarakat.

'Ini penting bagi kita mengajar masyarakat di negara ini tentang perlakuan bahasa yang betul dan sopan serta mendidik mereka untuk mempunyai nilai-nilai tinggi dalam hidup' katanya.

Sementara itu, tentang program Kembara Akar Budi itu, beliau yang juga Presiden UIAM berkata, program itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat dengan warga universiti berkenaan.

'Kita memilih budi kerana penting dalam masyarakat. Di UIAM sendiri kita menggunakan perkataan ilmu dan budi yang diterapkan di dalam diri setiap warga universiti ini.

'Program seperti ini kita akan teruskan selepas ini di Johor, Negeri Sembilan, seterusnya seluruh negara. Kembara Akar Budi ini akan dijadikan program induk universiti,' katanya.



Google+ Followers