Wednesday, 7 June 2017

KPM larang media ambil pandangan, komen daripada PIBGN

Foto via Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon semua media termasuk portal berita atas talian supaya berhenti menyiarkan ulasan sebuah NGO mewakili ibu bapa dan guru, dengan alasan ia tidak “diiktiraf” mahupun menjalinkan sebarang kerjasama dengan kerajaan.

Akhbar dalam talian, Free Malaysia Today melaporkan, surat yang ditandatangani Ketua Komunikasi Korporat KPM, Hazran Mohamed itu mendakwa Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) sebagai sebuah badan yang tidak pernah berperanan meningkatkan mutu pendidikan negara, dan mahu semua media berhenti mendapatkan komen presidennya, Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan.

“Ini memandangkan PIBGN tidak pernah memberikan sumbangan khusus, idea mahupun inovasi dalam meningkatkan mutu pendidikan negara,” menurut surat yang turut diterima melalui pos.

“KPM memohon agar pihak media tidak menggunakan sebarang pandangan atau komen pihak berkenaan khususnya melalui Presiden PIBGN iaitu Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan berkenaan pendidikan dalam negara khususnya di peringkat Prasekolah hingga lepasan Menengah.”

Ketika dihubungi wartawan, Mohamad Ali menolak dakwaan itu sambil menyifatkan tuduhan PIBGN tidak menyumbang kepada pendidikan negara sebagai berbaur fitnah dan “zalim”.

“Mengatakan saya langsung tidak beri idea agak melampau amat sangat rasanya. Malah tidak berperikemanusiaan. Di mana sebenar integriti pihak KPM?” kata pakar geologi itu kepada FMT.

“Biarlah KPM buat dosa kering bulan puasa ini.”

Menurutnya, PIBGN direstui oleh KPM sejak dulu dan terlibat dalam pelbagai kegiatan termasuk menyertai jawatankuasa dibentuk atas undangan KPM.

Mohamad Ali kerap memberi kritikan dan ulasan tajam terhadap beberapa keputusan KPM di samping kontroversi berkait sistem persekolahan, termasuk ketika hangat isu sekolah tahfiz susulan kematian pelajar Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, April lalu.

Tahun lalu, Mohamad Ali menyeru kerajaan mengkaji semula 1BestariNet, projek membekalkan lebih 10,000 sekolah kerajaan dengan khidmat internet, dengan kontrak bernilai RM4.1 bilion diberikan kepada YTL Communications Sdn Bhd tanpa melalui tender terbuka.

Tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan projek itu dan mencadangkan agar ia dibatalkan, susulan pelbagai aduan mutu rangkaian internet.

Mohamad Ali berkata surat KPM itu tidak langsung menghalangnya menjalankan tanggungjawab bersuara mengenai isu pendidikan.

“Nak iktiraf atau tidak iktiraf itu hak mereka.

“Saya ikhlas menjalankan tugas dan tanggungjawab saya,” kata bekas ketua Jabatan Geologi Universiti Malaya itu.

Sumber: Free Malaysia Today

Google+ Followers