Monday, 26 June 2017

Hanya insan berani, bersifat waja ‘terpilih’ mengajar sekolah pedalaman

Tags

Foto via Astro Awani
KOTA KINABALU: Hanya guru yang berani dan bersifat waja dipilih mengharungi cabaran dari segi mental dan fizikal untuk mengajar di kawasan pedalaman, kata pengarah Jabatan Pendidikan Sabah.

“Kamu jangan terkejut kalau terjumpa kanak-kanak yang tidak pernah mendengar sepatah perkataan bahasa Inggeris pun di kawasan pedalaman,” kata Datuk Maimunah Suhaibul dalam taklimat kepada 101 guru baharu, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi guru di kawasan pedalaman ialah jarak jauh antara rumah dan sekolah mereka.

“Mungkin kamu terpaksa berjalan kaki merentas padang becak, memandu di jalan pembalakan berlumpur atau berperahu atau naik bot di sungai, atau kombinasi mana-mana ‘kembara’ ini untuk ke sekolah.

“Lepas itu, mungkin ada buaya pula di sungai di sekolah kamu dan cabaran ini kamu perlu hadapi 5 kali seminggu.

“Hanya mereka yang berani, ikhlas dan bersifat waja yang sedia mengharungi cabaran ini semata-mata untuk membina masa depan anak-anak di pedalaman ini. Saya berharap kamu semua adalah warga pendidik yang cekal, ikhlas dan berani.”

Penantian kira-kira 6 bulan untuk kumpulan guru baharu itu berakhir, selepas tamat taklimat selama 5 jam dengan penyerahan surat pelantikan kepada mereka.

Harap guru lain terima dengan hati terbuka

Guru muzik berusia 24 tahun, Athirah Zahir Rosly dari Ranau, yang menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak di Kota Samarahan, Sarawak, pada November lalu, ditugaskan ke Telupid.

Ia ialah daerah kecil yang dikategorikan “Pedalaman 3” – daerah paling jauh di kawasan pedalaman.

“Pada mulanya saya agak gementar. Telupid 2 jam jauhnya dari kampung halaman saya dan untuk ke sana, saya mesti memandu di jalan pembalakan.

“Tetapi saya tidak risau sangat kerana ianya tidak terlalu jauh dari keluarga. Bertugas di Telupid akan menjadi satu pengalaman berharga untuk saya.

“Ianya ‘check point’ pertama dan saya harap rakan guru lain juga menerima tugasan pedalaman ini dengan hati terbuka.”
Bangga terpilih untuk tugasan besar.

Anak kelahiran Tuaran berusia 24 tahun, Mohamad Syazni Matsah pula ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur di Pulau Banggi – perjalanan 50 minit dengan bot dari Kudat, daerah paling utara di Sabah.

Bekas rakan sekelas Athirah di Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak itu sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk mengajar di kawasan pedalaman kerana pensyarahnya banyak bercakap mengenai kemungkinan itu.

“Pulau Banggi dan Kudat berada di kawasan Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah), tetapi saya tidak risau sangat kerana ramai anggota keselamatan di situ.

“Saya gembira untuk pengalaman hebat ini kerana bukan semua orang dipilih untuk tugasan mencabar ini. Pengalaman ini berharga untuk masa depan kerjaya saya.

“Saya berpeluang membina diri sebagai insan dan guru. Saya percaya kami ‘terpilih’ untuk tugasan besar ini. Saya pasti saya akan cemerlang dalam peranan dan cabaran baru ini.”

Foto via Free Malaysia Today
Idam mengajar di sekolah pedalaman

Shafil Salam, 24, berkata beliau sudah lama idam dihantar ke kawasan pedalaman memandangkan pensyarah sering memberi galakan untuk berjaya dalam tugasan paling mencabar itu.

Guru pendidikan pemulihan yang berasal dari Kuala Penyu, selatan Sabah itu ditugaskan ke SK Tanjung Labian di Lahad Datu, pantai timur Sabah yang juga terletak dalam kawasan Esszone.

“Penantian tugasan memang tidak seronok. Jadi, apabila saya menerima panggilan untuk menghadiri taklimat, saya amat teruja. Saya bertambah gembira apabila impian saya terkabul.

“Keluarga saya pasti akan risau disebabkan lokasi tugas saya di Esszone. Pihak keselamatan akan menguatkuasakan perintah berkurung. Jadi, saya kenalah bersabar dan kuatkan semangat.

“Ada ramai orang dan guru lain di sana, jadi saya tidaklah risau sangat dengan keadaan di sana. Kalau mereka boleh hidup seperti biasa di sana, takkan saya tidak boleh,” katanya yang menamatkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman di Jitra, Kedah.

Sumber: Free Malaysia Today



Google+ Followers