Saturday, 6 May 2017

Tiada Noktah Dalam Mendidik...

PUTRAJAYA 5 MEI - Tugas seorang guru tidak hanya mengajar mata pelajaran dalam bilik darjah tetapi juga mendidik anak murid untuk menghormati dan menjiwai ilmu dalam menjalani kehidupan seharian.
Bagi mendepani cabaran arus semasa, seorang guru juga dikehendaki untuk sentiasa menguasai ilmu pengetahuan baharu agar dapat merangsang minat murid untuk menimba ilmu.

Perkara tersebut antara dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr. Haili Dolhan, 65, yang juga merupakan Tokoh Guru Kebangsaan 2015.

Menurut beliau, cabaran golo­ngan guru masa kini berbanding dahulu adalah murid-murid sekarang mempunyai pelbagai akses untuk pengetahuan terutamanya daripada internet.

“Kalau zaman saya muda dahulu, cabarannya mungkin dari segi peralatan dan murid kurang namun cabaran sekarang ini adalah murid terdedah kepada ba­nyak maklumat, dahulu memang murid bergantung kepada guru untuk pengetahuan, sekarang murid boleh cari bahan dari sumber internet.

“Oleh itu, walaupun guru itu adalah lepasan universiti, masih banyak perkara baharu yang perlu dipelajari dan mereka juga perlu sentiasa tahu perkembangan-perkembangan baharu,” ujarnya.

Mengimbas balik kerjayanya dalam bidang perguruan pada tahun 1970, Haili memberitahu, beliau bermula sebagai guru san­daran tidak terlatih di beberapa sekolah di pesisiran Sarawak.

“Kebanyakan murid-murid saya ketika itu adalah anak nelayan, anak petani dan mereka ini jauh ketinggalan dari segi pendidikan, saya merasa kepuasan apabila dapat memberi pendidikan, memang itu keperluan untuk anak bumiputera di Sarawak,” katanya.

Anak kelahiran Sibu, Sarawak ini kemudiannya mendapat latihan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan tidak pernah putus asa untuk menimba ilmu sehingga berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Birmingham, United Kingdom.

Kerjayanya sebagai pendidik begitu meluas daripada seorang guru kepada Penolong Kanan, Pengetua, Nazir, Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan serta Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Jelas Haili, tidak terlintas di hatinya yang beliau akan dinobatkan sebagai tokoh guru kebangsaan kerana niatnya adalah untuk menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa.

“Ini merupakan satu kema­nisan kerana mendapat pengiktirafan yang amat besar, sebenar­nya saya mengikut contoh daripada tokoh-tokoh guru terdahulu ke­rana setiap tokoh ada kekuatan mereka sendiri dan daripada situ kita belajar,” katanya.

Mengulas mengenai kepuasannya sebagai pendidik, Haili memberitahu, kepuasan sebenar adalah apabila dapat melihat anak didik mencapai kejayaan dalam pelajaran, kerjaya serta dalam kehidupan.

“Bila diumumkan keputusan peperiksaan dan melihat ramai anak murid kita berjaya, itu adalah satu kepuasan, begitu juga bila mereka berjaya dalam karier, dapat melihat hasil didikan kita memang satu kepuasan.

“Sebenarnya, tiada noktah dalam mendidik, itulah tugas guru, sentiasa mendidik, kita tidak boleh putus asa sekiranya murid itu manja atau bermasalah, belakang parang juga lama-lama akan tajam kalau diasah, tidak boleh putus harapan,” katanya.

Kata beliau, tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ sebagai tema sam­butan Hari Guru tahun ini sememangnya membawa makna besar kerana guru memainkan peranan penting untuk kemajuan bangsa dan negara.

Tidak hanya di Malaysia, malah di negara-negara lain juga memperlihatkan profesion guru amat signifikan dalam memupuk semangat patriotisme dan menye­mai semangat cintakan negara.

“Sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, kita harus didik murid kita untuk cintakan negara, kalau bukan guru, siapa lagi ke­rana guru yang pa­ling terdekat dengan anak murid selain ibu bapa,” kata­nya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers