Saturday, 20 May 2017

Tanpa guru, siapalah kita...

Tags

Gambar hiasan via Twitter
GURU Pembina Negara Bangsa yang dipilih buat kali keempat sebagai tema sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan membawa makna yang cukup besar tentang betapa signifikan sumbangan dan peranan guru yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Peranan guru dalam membina dan membangunkan tamadun dan negara bangsa meliputi pelbagai aspek kehidupan terutamanya dari segi ilmu dan akhlak digambarkan secara menyeluruh melalui tema ini.

Walaupun pelbagai isu mewarnai dunia kerjaya guru di negara kita seperti rungutan beban tugas pentadbiran, penempatan yang menjarakkan antara suami isteri di samping isu hangat dan sensitif seperti tindak-tanduk segelintir guru merotan dan menampar pelajar namun keduduk­an guru tetap penting di mata rakyat. Cuma ada ketikanya kita tertanya-tanya sejauh mana masyarakat menghargai peranan dan sumbangan guru?

Hakikatnya setiap daripada kita pasti terhutang budi sekurang-kurangnya kepada seorang guru. Guru juga sentiasa diangkat sebagai agen perubahan sosial yang cukup berkesan. Ringkasnya, siapalah kita hari ini tanpa ajaran dan bimbingan daripada seorang insan mulia bernama guru.

Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia dan membina negara bangsa melalui penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak yang mulia. Jasa guru sama ada guru sekolah, tadika mahupun pensyarah amatlah besar, begitu juga pengaruh mereka. Justeru usah­lah kita asyik mencari kesalahan guru.

Sekarang amat jarang kita de­ngar para pelajar mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Fenomena ini cukup menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita yang begitu mementingkan budaya sopan-santun dan nilai murni sejagat.

Walaupun kita akui memang ada segelintir guru yang bermasalah atas pelbagai faktor peribadi termasuk yang memilih kerjaya ini kerana terpaksa dan tiada pilihan kerja yang lain, tetapi adalah tidak wajar untuk kita menghakimi keseluruhan institusi perguruan hanya kerana nila yang setitik ini.

Hakikatnya tugas guru sema­kin mencabar dan rumit mengikut peredaran zaman dan tuntutan semasa. Kalau dulu guru berhadapan dengan anak murid yang serba tidak tahu dan perlu diajar dan dididik segala-galanya, zaman sekarang pula persekitarannya jelas berbeza sama sekali.

Pelajar sekarang ramai yang tahu serba-serbi, cepat memberontak dan bertindak balas mengikut emosi. Akibatnya guru terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan dari peringkat sekolah rendah hingga menengah, apatah lagi di universiti dalam memenuhi kehendak dan tuntutan para pelajar dan juga ibu bapa mereka.

Dalam hal ini, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan menyedarkan anak-anak mereka agar menghargai jasa dan sumbangan para guru. Anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu meletakkan kepercayaan kepada guru untuk menjalankan tugas tanpa gangguan jika mahu melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna kelak.

Masyarakat perlu meletak guru di kedudukan yang betul. Perlu diingatkan bahawa gelaran guru akan kekal hingga ke akhir hayat. Ini menandakan tugas mendidik tidak pernah berhenti walaupun guru itu telah bersara.

Walaupun ramai yang masih beranggapan bahawa kerja guru mudah, boleh balik awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti sekolah yang panjang namun tidak ramai sedar, tahu dan menyelami tugas hakiki seorang pendidik.

Ramai yang tidak sedar guru perlu bekerja sehingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai kerenah anak murid dan juga ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi soal tugas pentadbiran yang semakin bertambah.

Hakikatnya waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja lazim seorang penjawat awam iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang, sebaliknya berterusan sepanjang masa, 24 jam tanpa mengira hari dan waktu.

Untuk itu, dalam kita bergerak secara agresif untuk melaksanakan dan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, kita perlu juga memberi fokus kepada kepentingan para guru selaku antara komposisi dan pemain utama dalam ekosistem pendidik­an negara.

Hal ini penting demi mengangkat dan mengangkasa martabat profesion perguruan ke tahap yang sewajarnya sekali gus me­ngukuhkan laluan kerjaya guru itu sendiri. Pemantapan profesion perguruan akan turut memantapkan sistem pendidikan negara yang sekali gus mampu melahirkan modal insan dan generasi masa depan yang hebat, berkaliber, serba boleh dan bijak - apa yang disebut-sebut kini sebagai kemenjadian murid atau pelajar. Ringkasnya kemenjadian murid atau pelajar bergantung kepada kemenjadian para guru.

Sama-samalah kita mendoakan agar para guru terus komited memainkan peranan melahirkan modal insan dan generasi pelapis yang mempunyai nilai jati diri yang unggul dan boleh menjadi warga yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara secara keseluruhannya.

Selamat Hari Guru!

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.

Sumber: Utusan Online


Google+ Followers