Friday, 5 May 2017

Silibus Tinggi - Perkongsian Guru Matematik Ini Wajar Buka Hati Semua Pihak

Tags

Aku menulis untuk memberi kesedaran, bukan menambah kebuntuan.

Sehingga saat ini, post aku mengenai silibus Tahun 1 yang tinggi arasnya masih dikongsi netizen. Dah lebih 4000 perkongsian. Masih panas post itu padahal dah seminggu aku tulis.

Rata-rata memberi komen tentang sukarnya silibus itu. Tak kurang ramainya mempertikai kenapa silibus digubal sebegitu tinggi. Yang tak tahan, ada yang komen begini,

" Kita kena terima perubahan. Biar setanding negara maju. Ini cikgu pun penting diri. Tak nak terima perubahan. Nak ajar yang mudah-mudah. Tukar kerja lainlah. Anak aku elok je boleh faham. Bla..bla..bla.."

Aduh bang. Hebat betul kau nilai orang. Aku penting diri? Kau dengar sini.

Aku menulis untuk kesedaran, bukan menambah kebuntuan.

Pendedahan aku mengenai silibus itu seolah memberi kejutan pula pada netizen. Ibu ayah yang sebelum ini tak pernah belek buku anak-anak, terus mencapai beg anak dan melihat sendiri. Apa benar bagai dikata.

Disitu satu kejayaan. Disitu satu kesedaran. Ya, yang tak pernah pegang buku anak mulai pegang. Itulah kesedaran yang aku mahu.

Tidak mengapalah ibu bapa nak luah pendapat mereka kata silibus itu tinggi sampai mereka sendiri susah nak faham. Apa lagi nak ajar. Majoritinya berpendapat begitu.

Kau beruntunglah. Dapat anak bijak pandai. Tunggu satu masa anak kau datang membawa buku latihan sambil air mata berlinangan. Dia tak faham apa nak buat. Rasa susah sangat sampai menangis. Puas kau terangkan dia tak dapat-dapat. Dan bila dia berkata,

" Ayah. Ibu. Adik tak sukalah Matematik ni. Susah sangat."

Masa tu kau akan rasa apa yang netizen lain rasa. Masa tu kau akan nilai semula apa yang kau kata.

Kalau aku ini penting diri, aku diamkan sahaja hal ini. Biar ibu bapa yang tak sedar betapa tingginya silibus ini, terus tak sedar. Aku terus mengajar seperti biasa. Yang faham, baguslah. Yang tak faham, lantak sajalah.

Kalau aku ini penting diri, aku takkan post 4 video mengajar abakus secara percuma. Beribu share, berpuluh ribu view. Untuk ibu bapa belajar, untuk mereka ajar pula pada anak-anak mereka.

Kalau aku ini penting diri, aku tak kongsi cara mudah memberi faham belajar bundar. Cara nak latih anak hafal sifir dan faham topik-topik Matematik.

Kau yang nilai dari satu post tanpa tahu aku dah bertahun berkongsi idea. Dah bertahun aku mengajar ibu bapa di fb aku dan di group TcherCollection. Dah bertahun-tahun bang, bukan kali ini sekadar hendak menjadi hero.

Aku memang nak bantu ibu bapa agar faham dan seterusnya ajar anak-anak kat rumah.

Bang, aku ini opsyennya major Matematik. Matematik ni memang minat aku dari kecil. Abacus tu mainan aku saja.

Cara yang ditunjukkan dalam buku teks itu sekali jeling aku boleh faham. Setakat friend of ten atau big friend ni kudapan aku bang.

Tapi memberi faham itu payah bang. Kau bercakap sedap dari kerusi empuk. Anak-anak kau dah besar panjang. Atau kalau ada yang kecil, mereka dikurniakan otak yang bijak oleh Allah taala bang. Syukurlah bang.

Aku pula bercakap berdasarkan pengalaman bang. Ya, universiti pengalaman yang aku masuk dah 12 tahun bersama murid tahun 1. Segala macam silibus aku dah telan. KBSR, ETEMS, KSSR dan KSSR Semakan 2017.

Jadi tak betul lah kau nak pertikai aku bang. Apatah lagi suruh aku cari kerja lain sedangkan proffession ini merupakan kecintaan. Kau silap orang bang.
*****

Baik. Aku malas nak ulas panjang bab itu. Cukuplah setakat itu.

Aku ini menulis untuk kesedaran, bukan menambah kebuntuan.

Hei ibu bapa yang banyak bersungut di luar sana. Bersungut kata silibus susah dan tinggi. Siap maki hamun penggubal lagi.

Kau siapa? Kau tak mampu ubah apa-apa. Sama macam aku. Ya, kita sama.

Tak apalah kau nak terkejut sebentar bila tahu. Tapi kini kau kena sedar. Silibus kita memang tinggi dan kita kena hadapi. Maki hamun tidak mengubah apa-apa.

Maka mulai hari ini, kau kena memberi tumpuan lebih pada anak-anak dalam soal pelajaran. Bantu dia memberi faham. Kau sendiri kalau tak faham kena belajar sama. Untuk tunjuk ajar anak kau.

Aku pelaksana dasar. Aku dan guru-guru lain laksanakan sebaik mungkin di sekolah. Kau di rumah kena membantu sama. Mana mampu seorang guru nak memberi faham pada setiap murid yang dia ajar. Muridnya beratus orang. Silibus kian berat, kalau kau tak bantu anak kau akan ketinggalan.

Bila anak kau makin tertinggal, minat dia akan berkurangan. Akhirnya dia akan benci matapelajaran itu. JANGAN SAMPAI TAHAP ITU.

Hei kau ibu bapa. Jangan pandang rendah pada kemampuan anak kau. Dia boleh. Dia boleh. Dia boleh!

Tapi perlu dibimbing secara 'one to one' oleh kau kat rumah. Jangan hanya harap tunjuk ajar cikgu di sekolah.

Kau nak tahu pendapat aku?

Pendapat aku silibus ini memang patut diperkenalkan. Ya, jangan terkejut jika aku sokong silibus ini. Cuma pada aku silibus ini diperkenal terlalu awal dan kita masih tidak bersedia sepenuhnya.

Baik dari segi prasarana, dari segi murid yang tercicir, malahan ibu bapa pun tidak bersedia. Aku ada menulis hal ini. Yang belum baca, boleh baca kat link ini :-

Silibus Tinggi - Pertimbangkan 7 Perkara Ini Untuk Penambahbaikan

Dan pada aku, cara penggenaban (friend of ten) itu lebih sesuai diajar pada tahun 3 dan ke atas. Tahun 1 dan 2 patut lebih santai dan memujuk murid untuk minat Matematik.

Tapi siapa aku untuk mempertikaikan? Aku sama macam kau. Tak mampu nak ubah apa-apa. Maka harung saja. Harung saja dengan bersemangat dan positif. Hentikan rungutan, mulakan tindakan.

Aku menulis untuk kesedaran, bukan menambah kebuntuan.

Hal ini seolah peperangan. Walau kita tak sedia untuk berperang, tapi kita TELAH PUN DISERANG.

Maka lawan saja. Lawan saja dengan segala apa yang ada.

Merungut takkan mampu hentikan serangan ini. Persiap segala senjata, turun dan harungi sahaja perang ini. Kita boleh menang kalau bekerjasama. Boleh, kita boleh menang perang ini!

Dengan syarat, guru dan ibu bapa pakat bersatu. Guru serang di sekolah, ibu bapa serang di rumah. Anak kita itulah trofi kejayaan.

Sedarlah. Aku menulis untuk kesedaran. Kau patut sedar. Kau patut sedar dan bertindak. Bukan hanya bercakap.

Aku menulis bukan untuk menambah buntu. Kelak anak didik makin keliru.

Walau berapa banyak kau kata aras itu terlalu tinggi, walau berapa kontena kau komen kita belum bersedia, namun orang di atas sana merasakan sudah sampai masanya.

Mereka dah lancar perang. Maka hadap saja.

Mari kita berganding bahu. Mari kita sama-sama bertindak. Bukan sekadar memberi komen tunjuk bijak.

#MFS
* Kita diserang. Bangkit dan melawanlah! 💪

Sumber: Mohd Fadli Salleh

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers