Saturday, 6 May 2017

Profesion guru mulia, berintegriti

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 5 Mei – Pepatah ‘Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain’ yang membawa maksud guru terpaksa me­nempuh pelbagai kesukaran demi memberi ilmu pengetahuan kepa­da anak bangsa, kekal relevan se­panjang zaman, kata Tengku Azu­an Tengku Mohamed.

Menurut bekas Tokoh Guru Kebangsaan 2014 itu, kecanggihan teknologi dan gajet moden ketika ini tidak menjanjikan kerja yang mudah buat guru dalam menggalas tugas hari­an mereka sebalik­nya lebih mencabar minda guru untuk mencipta inovasi serta krea­tif, di samping perlu berdepan cabaran dari luar terutama media sosial.

“Mereka yang bergelar guru memegang peranan besar dalam membentuk generasi masa depan negara justeru, setiap guru harus memiliki sikap mulia dan berintegriti cemerlang dalam mendidik pelajar,” katanya ketika ditemui di kediamannya dekat sini, baru-baru ini.
Imej via Utusan Online
Tengku Azuan, 66, merupakan kumpulan guru wanita pertama di negara ini yang terpilih dinaikkan ke gred perkhidmatan ter­tinggi bagi pentadbir sekolah iaitu Pengetua Cemerlang Jusa C Kohort Pertama pada tahun 2004.

Beliau merupakan satu-sa­tu­nya Pengetua Cemerlang Jusa C yang diberi kepercayaan dan amanah untuk membimbing dan menerajui tiga buah sekolah yang cemerlang iaitu Sekolah Seri Pu­teri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki dan Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan.

Hasil kecemerlangan beliau itu, ketiga-tiga sekolah tersebut telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Menurut Tengku Azuan, sikap guru itu penting dalam menentukan baik atau buruk keberhasilan seseorang pelajar itu.

“Perlu diingatkan profesion perguruan ini bukan kerja lakonan atau boleh berpura-pura ke­rana pada akhirnya, sikap sebenar guru itu akan terdedah juga kerana keberhasilan murid terletak di tangan seorang guru. Guru tidak boleh memberi alasan, tugas mereka hanya di dalam bilik darjah dan di luar waktu mengajar bukan tugas mereka.

“Guru tidak boleh mengajar seperti 10 atau 20 tahun dahulu, kita tidak boleh beri arahan kepada pelajar sebaliknya anggap mereka sebagai kawan, kita sebagai tempat mereka mengadu dan berbincang, satu lagi paling pen­ting, cara guru itu mengajar kerana kaedah yang digunakan amat penting bagi menarik minat pelajar untuk belajar,” ujarnya.

Pada masa yang sama, kata Tengku Azuan, guru harus memikirkan kaedah terbaik secara mendalam untuk menarik perhatian pelajar di dalam bilik darjah dan tidak semata-mata lagi menekankan kaedah chalk and talk dengan harapan pelajar akan menerima sahaja segala pengajaran yang diberi.

“Cara chalk and talk ini sudah tidak sesuai lagi kerana pelajar tidak akan mengalami pengalaman pemikiran yang kreatif, kita wajar memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir secara krea­tif dan salah satu caranya melalui pengajaran secara kolaboratif dan kope­ratif,” katanya.

Menerusi pendekatan yang turut ditekankan dalam pembe­lajaran abad ke-21 ini, guru ha­nya bertindak sebagai fasilitator manakala pelajar akan belajar secara berkumpulan supaya mereka lebih berkeyakinan dan menghormati antara satu sama lain.

“Sebab itu, saya sedih jika ada guru hari ini yang tidak mahu berubah dan masih mahu bersikap negatif dalam memberi pendidikan kepada anak-anak bangsa sedang­kan perubahan yang dituntut itu membuatkan guru tersebut berubah menjadi lebih baik dan cemerlang dalam profesion mereka,” katanya.

Kini, walaupun sudah hampir 10 tahun meninggalkan profesion yang dicintainya, Tengku Azuan masih berkhidmat sebagai pendidik secara separuh masa iaitu sebagai Head Cluster Engagement LeapEd iaitu badan penasihat pendidikan untuk Sekolah Amanah.

Tengku Azuan yang hampir 35 tahun mengabdi diri dalam alam perguruan dari tahun 1976 hingga 2007 berkata, beliau berasa seronok dan terharu apabila terkenang dan mengingat kembali sepanjang bergelar guru.

Malah, hatinya akan tiba-tiba menjadi hiba dan terharu apabila teringat betapa sukarnya pendi­dik terdahulu berkhidmat untuk memberi pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa.

Beliau turut berpesan, guru tidak perlu garang atau lebih gemar memarahi pelajar mereka sekiranya pelajar enggan mematuhi arahan guru sebaliknya menjadikan pelajar sebagai kawan agar mereka lebih selesa berinte­raksi dengan guru.

“Saya dulu ketika mula bergelar guru pada usia yang sangat muda di SMK Zainab, Kelantan, saya le­bih berkawan dengan pelajar.

“Baru-baru ini, pelajar tersebut menganjurkan pertemuan dengan rakan sekolah lama dan menjemput saya menghadiri majlis itu biarpun sudah lama waktu berlalu, mereka masih mengingati saya malah melayan saya seperti saya pengetua di sekolah walhal saya hanya guru biasa yang mengajar mereka di situ.

“Aspek ini yang saya mahukan tekankan kepada warga pendidik hari ini bahawa pelajar akan mengingati kita sentiasa sekiranya kita ikhlas dan baik terhadap mereka.

“Jangan bezakan mana-mana pelajar, yang itu baik dan yang ini nakal, sebagai guru mereka, tanggungjawab kita menyemak kekurangan atau kelemahan diri pelajar tersebut, jangan salahkan pelajar, ibu bapa atau orang lain,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers