Wednesday, 31 May 2017

NUTP janji penyelesaian pertukaran guru dukalara lebih mudah

Foto via Cikgu Share
PETALING JAYA: Guru “berduka lara” ialah istilah yang digunakan terhadap guru yang terpaksa berpisah dengan pasangan mereka selepas dihantar bertugas ke daerah atau negeri lain.

Permohonan mereka untuk berpindah selalunya mengambil masa bertahun-tahun. Semuanya bergantung kepada kekosongan atau keperluan guru di tempat yang ingin dituju.

Dalam 6 bulan pertama tahun ini, daripada 20,470 permohonan guru untuk dipindahkan meliputi pelbagai alasan, 6,636 mahu berbuat demikian kerana dipisahkan daripada pasangan mereka.

Tetapi hanya 2,261 diluluskan, manakala lebih 4,300 terpaksa terus berasingan daripada pasangan mereka sehingga nasib menyebelahi mereka.

Fazran Taha (bukan nama sebenar), guru matematik di sebuah sekolah menengah di Semanggol, Perak salah seorang daripada mereka, dan sekali lagi, permohonannya ditolak.

“Saya sudah buat permohonan sejak 2012, ketika mula-mula mengajar. Saya berkahwin pada 2014, dan mula memohon di bawah kategori ‘duka lara’.

“Saya buat permohonan 2 kali setahun, tetapi sehingga sekarang masih di sini,” kata anak kelahiran Kelantan itu ketika dihubungi FMT.

Beliau kini tinggal berjauhan dengan isteri dan anak berusia kira-kira 2 tahun. Isterinya juga seorang guru, mengajar Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kuala Krai, Kelantan.

Lebih menyukarkan keadaan, isterinya juga sukar untuk berpindah kerana kekurangan guru Bahasa Inggeris di negeri itu.

“Apa boleh buat. Sekarang setiap minggu saya pulang, tambahan pula anak masih kecil,” katanya.

Kelantan merupakan negeri paling sukar dipohon apabila hanya ada 94 permohonan (0.4%) keluar dari negeri itu – iaitu jumlah terendah, manakala permohonan ke sana adalah paling tinggi iaitu 4,319 (21.1%).

Angka itu tidak selari dengan kekosongan yang ada di sana, iaitu 33 tempat di sekolah menengah dan 164 di sekolah rendah.


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengakui sukar mencari penyelesaian bagi masalah itu, namun berkata keadaan sekarang jauh lebih baik berbanding dulu.

“Dulu sistem tidak teratur. Sekarang semua melalui atas talian, dan proses lebih mudah dan cepat. Cikgu boleh periksa sendiri kekosongan dari masa ke masa,” kata Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak.

“Permohonan sah sehingga setahun. Semakin banyak kali permohonan dibuat, merit semakin naik dan peluang semakin cerah,” katanya kepada FMT.

Bermula 2016, permohonan pertukaran dibuka 3 kali setahun, iaitu pada Januari, Jun dan Disember.

Namun Kamarozaman mengakui kriteria utama tetap bergantung kepada kekosongan tempat dan permintaan subjek di setiap negeri.

Dalam ucapan merasmikan Perayaan Hari Guru di Johor Bharu 16 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kementerian itu agar terus prihatin dengan isu guru yang berjauhan dengan keluarga.

“Bagaimana produktiviti akan meningkat kalau kita terpisah emosi dan minda daripada keluarga atau orang yang kita kasihi,” soalnya.

Kamarozaman menggesa guru yang masih gagal berpindah membuat rayuan dengan NUTP, agar kesatuan boleh membawa isu itu kepada kementerian.

Katanya, permohonan dengan sokongan NUTP lebih mudah diluluskan kerana kesatuan sudah membuat semakan terlebih dulu sebelum menghantar senarai pendek kepada kementerian.

“Kementerian memberi keutamaan kepada guru muda yang ada anak kecil, dan sedikit sukar bagi guru yang menjaga tingkatan yang akan berhadapan peperiksaan seperti tingkata 3 dan 5,” katanya lagi.

Bagi Fazran, beliau belum pernah merayu dan akan berbuat demikian untuk permohonan akan datang.

“Lebih 5 tahun masih tiada rezeki. Tetapi saya tetap akan cuba, asal boleh bersama dengan isteri dan anak,” katanya.

Artikel asal daripada FMT

Google+ Followers