Tuesday, 16 May 2017

Ledakan teknologi tidak boleh ganti peranan sebenar guru

Tags

PUTRAJAYA 15 Mei - Ledakan teknologi maklumat tidak boleh menggantikan peranan guru dan ahli akademik walaupun teknologi banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran secara kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, peranan guru dan ahli-ahli akademik masih kukuh dan re­levan dalam ledakan era digital yang me­nyaksikan kemajuan penggunaan teknologi secara radikal.

“Peranan guru dan ahli akademik sangat kritikal khusus­nya dalam membentuk sahsiah serta keperibadian yang luhur dalam kalangan pelajar dan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan bersempena sambutan Hari Guru 2017 bertemakan Guru Pembina Bangsa Negara di sini hari ini.

Beliau berkata, Hari Guru perlu disambut secara meriah sebagai simbolik menghargai jasa golongan tersebut yang berperanan besar mendidik pelajar menjadi insan cemerlang serta berkualiti tinggi.

“Peranan para guru sangat besar dalam mengisi kemerdekaan negara sekali gus mencarta transformasi nasional. Gurulah yang mendidik dan menjana pelajar dalam melahirkan insan unggul serta tenaga kerja berpengetahuan malah berkemahiran tinggi,” katanya.

Jelasnya, MPN menerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan akan terus berusaha memartabatkan profesion perguruan sekali gus bersama-sama kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Kerajaan merancang memperbesarkan saiz ekonomi negara mencapai RM2 trilion dan seterusnya menjadi antara 20 negara termaju dunia, justeru dari segi prestasi produktiviti negara menyasarkan kadar 3.7 hingga 4 peratus berbanding 3.3 peratus sekarang ini.

“Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sedang diarusperdanakan untuk menyediakan guna tenaga kerja masa hadapan bagi mencapai matlamat tersebut.

“MPN menyeru semua pihak bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru tahun ini dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab kerana tanpa guru siapalah kita. Malah gurulah yang membentuk siapa kita sekarang,” katanya.

Sumber: Utusan Online


Google+ Followers