Monday, 15 May 2017

Kehidupan sukar jika tiada keberkatan ilmu daripada guru

Tags

Foto via Utusan Online
Johor Bahru 13 Mei - Kehidupan seseorang itu akan terus ditimpa pelbagai kesusahan sehingga akhir hayat jika gagal memperoleh keberkatan ilmu daripada guru.

Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias berkata, oleh itu, pengorbanan dan jasa guru perlu sentiasa dikenang walaupun mereka telah bersara.

“Selain itu, sikap yang sama juga perlu ditunjukkan terhadap guru anak-anak kita. Meskipun mereka tidak mengajar kita, tetapi guru-guru itu telah mendidik anak-anak kita membaca dan mengira.

“Jadi, kita perlu menghormati dan mengenang jasa mereka agar hidup terus diberkati,” katanya dalam Ceramah Perdana berjudul Guru Oh Guru sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan di Padang A, Angsana Mall, di sini malam tadi.

Ceramah yang bermula pukul 9 malam itu turut dihadiri Pe­ngarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim serta kira-kira 700 warga bandar raya ini.

Sementara itu, Mohd. Kazim berkata, guru bukan hanya golo­ngan pendidik yang mengajar di sekolah atau institusi pengajian sebaliknya individu yang memberi manfaat kepada pihak lain.

Menurutnya, atas sebab itu kelebihan menjadi guru ini adalah pahalanya cukup besar kerana tiga amalan sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak-anak yang soleh yang boleh dibawa sehingga me­ninggal dunia.

“Saya sendiri telah mula menjadi guru pada tahun 1992, manakala pada 2006 saya mula membuka sekolah berasrama yang kini mempunyai 250 pelajar. Jadi, hampir 11 tahun menjadi guru besar.

“Banyak pengalaman yang saya peroleh sepanjang tempoh tersebut dan perbezaannya adalah ibu bapa hari ini yang cukup mencabar berbanding dahulu kerana majoriti melepaskan segala tanggungjawab kepada guru dan jika berlaku apa-apa, mereka menyerang pula guru berkenaan,” katanya.

Sumber: Utusan Online


Google+ Followers