Tuesday, 30 May 2017

Jangan sekat elaun guru kata NUTP

Foto via FMT
KULIM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan tidak menyekat peruntukan guru yang melaksanakan kursus-kursus seperti mana terkandung dalam Pekeliling Kewangan.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, penjimatan sudah dibuat di peringkat kementerian terhadap guru sejak dua tahun lalu bagi kursus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Tingkatan 1, sekali gus menunjukkan terdapat pertindanan dalam Pekeliling Kewangan KPM.

Menurutnya, beliau minta peruntukan diteruskan kepada guru untuk melaksanakan kursus-kursus di lapangan.

"Jika tak ada (elaun), guru terpaksa guna duit sendiri padahal dalam Pekeliling Kewangan, ia masih lagi berkuat kuasa, tiada penjimatan.

“Kementerian telah buat penjimatan dan berlaku pertindanan, adakah ia ikut pekeliling atau tidak? Peruntukan untuk kursus atau latihan KKSM perlu diteruskan. Nak tuntut semula tak boleh, sepatutnya makan tiga kali sehari jadi dua kali, itu hak guru,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tritahunan Ke21 NUTP Kedah, semalam.

Beliau berkata, peruntukan termasuk elaun perjalanan dan makan kepada guru adalah keperluan dalam melancarkan aktiviti selain mengurangkan beban pendidik.

“NUTP membantah jika guru terpaksa keluarkan wang sendiri untuk hadiri atau melaksanakan kursus kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan. Trend ini sudah bermula sejak dua tahun lepas bagi KSSM Tingkatan Satu, perlu dikekalkan supaya guru berasa dihargai.

“Kita melarang mana-mana kursus yang perlu dibayar oleh guru, sekarang ada yang kutip duit. Tak boleh macam itu, kita bantah kerana itu tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Kamarozaman turut menggesa kerajaan supaya mempercepatkan penstrukturan semula gred penjawat awam bagi meringankan beban guru dan hasrat kementerian mengurangkan guru bermasalah.

“Untuk kurangkan guru bermasalah kita mohon kementerian letakkan lebih ramai kaunselor di Pejabat Pendidikan Daerah, sekarang hanya ada seorang sahaja dan perlu kawal ramai guru.

“Kalau ada 2,000 guru di daerah, guru bermasalah 10 peratus, sudah jadi 200 orang perlu dikendalikan. Kalau nak harapkan kaunselor di sekolah, mereka tak sempat kerana perlu kendalikan pelajar. Ia perlu dipercepatkan bagi meringankan beban guru sekali gus atasi guru bermasalah,” katanya.


Google+ Followers