Friday, 26 May 2017

Guru perlu tumpu tugas hakiki, bukan sebar berita palsu - Kamalanathan

Tags

Timbalan Menteri Pendidikan - P. Kamalanthan
KUALA LUMPUR, 25 Mei: Guru perlu berpegang kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik dan bukannya menjadi ejen penyebar maklumat palsu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata sekiranya terbukti penyebaran maklumat palsu berlaku dalam kalangan guru, tindakan akan diambil selepas siasatan menyeluruh oleh kementerian.

“Kementerian memandang serius perkara ini kerana kami tidak mahu guru menjadi penyebar maklumat palsu….Kami sangat serius mengenai perkara ini dan akan memantau mereka. Jangan fikir tiada siapa yang melihat apa yang mereka lakukan kerana kami akan memerhatikan mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Transformasi Khas Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bersama Biro Tatanegara (BTN) di sini hari ini.

Seramai 60 peserta menghadiri program itu bertujuan mewujudkan jalinan intelektual antara BTN dan IPGM serta penerapan nilai patriotisme dan nilai-nilai murni dalam diri peserta.

Ia juga merupakan platform bagi BTN untuk menjelaskan dasar kerajaan dan isu-isu semasa negara.

“Ada banyak maklumat tidak benar ‘berlari’ dalam pemikiran para pendidik, jadi kami hendak betulkan…Kementerian akan bekerjasama rapat dengan BTN untuk memastikan maklumat (benar) dapat disampaikan kepada para pemimpin pendidikan,” katanya.

– Bernama


Google+ Followers