Sunday, 7 May 2017

Guru bermasalah ditahan terlibat dengan Daesh

Tags

Foto hiasan via mStar Online
ALOR SETAR – Polis menahan seorang guru di Kulim bagi membantu siasatan berpenglibatannya beri bantuan kewangan untuk Daesh yang berpangkalan di Syria pada April lalu.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, tangkapan kepada lelaki berusia lingkungan 30-an itu dibuat selepas hasil risikan dan pemantauan bersama beberapa bukti kukuh diperoleh.

“Kita dah buat tangkapan dan akan ambil tindakan. Buat masa ini kita masih kumpulkan beberapa maklumat lagi sebelum beliau boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Kita buat tangkapan ini setelah menerima bukti-bukti daripada agensi-agensi yang membantu kita di Kuala Lumpur.

Siasatan awal kita mendapati lelaki ini dipercayai aktif sejak dua tahun lalu memberikan sokongan dan simpati kepada kumpulan Daesh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Menurutnya, analisis yang dibuat mendapati kebanyakan mereka yang terlibat mahupun terpengaruh dengan aktiviti Daesh adalah daripada kalangan orang yang bermasalah.

“Macam kes guru lelaki ini, dia mengalami masalah rumah tangga dan apabila kita buat tangkapan, dia positif dadah. Kita juga menjumpai beberapa gram dadah dalam motosikalnya.

“Bermakna bukanlah betul-betul ideologi mereka untuk membantu Daesh, mereka adalah orang yang bermasalah dan cuba cari jalan tengah untuk keluar.

Itu analisis yang kita buat kepada penyokong-penyokong Daesh dan kebanyakannya mendapat pengaruh daripada media sosial,” katanya.

Jelasnya, secara umum Kedah juga tidak ketinggalan dengan ancaman elemen yang menyokong Daesh.

“Berdasarkan statistik dari tempoh 2013 hingga 2017, kita telah tangkap seramai 35 orang di Kedah kerana penglibatan mereka dengan Daesh, termasuk dua anggota kita sendiri yang kita dapat maklumat menunjukkan simpati kepada Daesh.

“Tetapi salah seorang daripadanya kita dah lepaskan setelah kita lihat dia bukan secara langsung membantu, manakala seorang lagi diambil tindakan,” katanya.

Ekoran penahanan seramai enam individu kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan Daesh serta disyaki bersubahat menyeludup senjata api dari selatan Thailand baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa kawalan keselamatan khusus di Bukit Kayu Hitam akan diperketat.

“Pihak Polis sentiasa mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang lain bagi memastikan pintu masuk kita tidak dibolosi sewenangnya oleh penyeludupan manusia mahupun senjata api,” katanya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers