Sunday, 14 May 2017

Festival Hari Guru releven, raikan pengorbanan guru

JOHOR BAHRU 13 Mei - Penganjuran Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 dilihat cukup relevan dalam usaha meraikan jasa dan pengorbanan besar para guru yang sentiasa berkorban tenaga dan masa menjadi nadi penggerak utama dalam mendidik anak bangsa.

Festival anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kumpulan Utusan itu merupakan bukti guru merupakan profesion penting dalam pembangunan sosial negara.

Seorang guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 2, Johor Bahru, Norzaidi Ismail berkata, program seperti itu menaikkan semangat guru-guru untuk terus berdedikasi menjalankan tugas sebagai pendidik.

“Program ini bukan sahaja meraikan guru tetapi secara tidak langsung merapatkan hubungan antara anak didik dengan guru-guru mereka.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Johor, Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan kerana berjaya menganjurkan Festival Hari Guru 2017 yang cukup meriah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4, Johor Bahru, Wardah Mokhtar berkata, program tersebut memberi impak yang cukup baik bukan sahaja guru malah kepada murid-murid.

“Aktiviti yang dijalankan banyak melibatkan penyertaan murid-murid dan ini memberi pendedahan kepada mereka untuk menonjolkan diri,” ujarnya.

Bagi Guru Bahasa Arab Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru, Nor Ahdat Mohamed pula, festival hari guru akan lebih meriah jika diselitkan dengan program-program kesukanan.

“Program anjuran Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan ini sudah cukup baik namun lebih berseri dan sihat jika ditambah dengan aktiviti sukan,” katanya.

Sumber - UTUSAN ONLINE


Google+ Followers