Friday, 12 May 2017

Fenomena fidget spinner, Kementerian Pendidikan tunggu laporan penuh

Tags

KUALA NERANG 12 Mei - Kementerian Pendidikan akan menunggu laporan daripada pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan berhubung penggunaan gajet 'fidget spinner' yang kini menjadi fenomena dalam kalangan pelajar sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana gajet itu baru sahaja berada di pasaran dan masih belum diketahui kesan penggunaanya, sama ada boleh mengundang bahaya kepada pengguna atau pun tidak.

"Benda ini masih lagi baru dan ada banyak pendapat mengenai penggunaannya. Kita perlu menunggu laporan dari pihak berkuasa terlebih dahulu, barulah kita bincang dalam jawatankuasa di peringkat kementerian," katanya selepas merasmikan kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai bahaya penggunaan fidget spinner yang berkemungkinan boleh mendatangkan kecederaan dan dieksploitasi menjadi senjata berbahaya, serta saranan kepada kementerian pendidikan agar fenomena itu diawasi supaya tidak menjejaskan sesi pembelajaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mahu jalinan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diperluaskan ke peringkat daerah dan akar umbi dalam usaha mengurangkan masalah penyalagunaan dadah dalam kalangan pelajar. - BERNAMA



Google+ Followers