Thursday, 25 May 2017

Buli: 10 pelajar MRSM Parit dibuang sekolah

Tags

Ahmad Jazlan Yaakub (dua dari kiri) beramah mesra bersama
sebahagian pelajar Islam Kemboja pada majlis penyampaian
Sijil Program Latihan Teknikal dan Keusahawanan Masyarakat
Islam Kemboja di Dewan Sinan, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Rembau, hari ini.
- UTUSAN ONLINE/MOHD IZZUL FARHAN AHMAD SURIAN SHAH
REMBAU 24 Mei - Seramai 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang terlibat dalam insiden buli pada 6 Mei lalu ditamatkan pengajian selepas siasatan terperinci dilakukan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung insiden tersebut.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tindakan itu bukan bersifat menganiaya sebaliknya sebagai pengajaran kepada pelajar lain supaya ia tidak berulang.

Ujarnya, tindakan itu juga menunjukkan bahawa Mara tidak akan berkompromi dalam perbuatan seumpama itu.

“Surat menamatkan pelajaran mereka di MRSM Parit telah dihantar secara pos kepada ibu bapa mereka semalam. Kedudukan pelajar terbabit selepas ini terpulang kepada ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Latihan Teknikal dan Keusahawan Masyarakat Islam Kemboja di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah KKTM Rembau, Rizal Effendi Razali.

Dalam kejadian tersebut, enam pelajar berusia 14 tahun dibuli dengan dipukul oleh 10 pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun selepas mereka enggan meminjamkan kasut bola.

Sumber - UTUSAN ONLINE


Google+ Followers