Sunday, 9 April 2017

Sebelum kahwin dengan cikgu, ingat beberapa perkara ini...

Tags

~ Guru itu isteriku ~ ( Bakal difilemkan )

Seorang suami membebel pada isterinya,

" Habis semua alatan di rumah awak angkut ke sekolah. Sudu, garfu, pensel, pensel warna, gunting, stapler, printer, kertas, tukul, paku, test pen, pembaris, tikar getah, skru driver, playar, ketip kuku, salotip, alas meja, alas kaki, mesin jahit, blender, tong gas, sabun basuh, minyak masak, sudip, kuali, pinggan mangkuk, selipar tandas.

Dengan saya-saya sekali awak angkut pergi sekolah. Suruh panjat tangga bersihkan kipas. Suruh pula cat kelas.

Sudah-sudah la tu. Duit awak perabih untuk sekolah dalam masa setahun dah boleh beli tiket pergi umrah tahu tak?"

" Abang. Waktu sebelum kahwin dulu saya dah pesan. Saya ada ramai 'anak' dan punya banyak 'rumah'.

Saya tanya abang sanggupkan terima saya jadi isteri? Abang kata sanggup.

Saya tanya pula sanggupkah abang tolong 'anak-anak' saya, tolong pula bantu hias 'rumah' saya. Abang angguk juga.

Nah, sekarang inilah dia. Kelas-kelas ini rumah saya juga. Murid yang beribu orang itu anak saya juga," balas si isteri tersenyum.

Bukan mengungkit, sekadar mengingatkan.

Sejak itu si suami tidak lagi membebel tentang hal ini. Tidak lagi menegur isterinya. Malah menyokong sepenuh hati.

Hari tua mendatang, ribuan 'anak' isterinya memulangkan jasa dengan pelbagai cara. Benih yang disemai berpuluh tahun dahulu kini membuahkan hasilnya.

Si isteri tersenyum bangga. Titik peluh yang dicurah dulu tidak sia-sia. Si suami menumpang gembira.

Dan, pasangan suami isteri itu kini tersenyum ria. Mereka hidup bahagia hingga ke anak cucu.

- T A M A T -

Cerita ini saya tulis suka-suka. Tapi realiti bagi beberapa sahabat guru saya. Semoga Allah merahmati kita semua serta guru-guru kita yang terdahulu samada yang masih hidup mahupun yang meninggal dunia.

Kisah santai, tapi ada makna. Bersahaja, tapi kena. :)

#MFS

Sumber: Mohd Fadli Salleh

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers