Sunday, 2 April 2017

Pegar atau Pagar, Batuk atau Batok? Kekalkan sahaja yang lama...

Tags

SAYA telah berkali-kali menemukan bicara tentang pembaikan peribahasa. Apabila saya sebutkan peribahasa, ertinya termasuklah pepatah, simpulan bahasa, perumpamaan dan beberapa lagi. Saya tertarik pada kemungkinan tersalah pilih kata yang kini kian giat dipersoalkan.

Pertama, “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.” Ketika saya melawat sekolah, seorang guru muda bertanya: “Jika murid itu berlari, bolehkah dia buang air?” Saya berfikir tentang tujuan dia bertanya. Saya dapati dia agak serius, lalu saya mengatakan, itu ialah unsur hiperbola dalam peribahasa. Hiperbola bererti pernyataan berlebih-lebihan untuk maksud seni.

Dalam satu majlis ceramah penulisan kreatif untuk pengkarya guru, seorang guru bahasa dan Komsas bertanya, “Adakah munasabah peribahasa “Telaga mencari timba?” Katanya lagi, dia tidak dapat membayangkan telaga berjalan ke sana sini mencari timba. Saya menjawab, bahawa itu ialah unsur absurditi dalam peribahasa Melayu. Bicara tentang itu kemudiannya beranjak ke maksud pantun, misalnya “Lautan api lagi kurenang” dan “Di mulut naga lagi kurebut”. Pernahkah kita lihat lautan api dan mulut naga?

Ini dunia bahasa dan sastera, yang menyamai dunia sains sosial, iaitu dunia yang dipenuhi tafsiran.

Sekarang perkataan ‘batuk’ dalam peribahasa “melepaskan batuk di tangga” telah kalah. Orang percaya, bunyi yang betul ialah “melepaskan batok di tangga.” Kemenangan ‘batok’ mengatasi ‘batuk’ berasaskan ‘batok’ ialah tempurung yang berada dekat tangga. Orang yang melepaskan batok di tangga ialah orang yang tidak cermat, kerana batok hendaklah diletakkan dekat tempayan untuk memudahkan orang mengambilnya bagi tujuan membasuh kaki.

Apakah makna “melepaskan batuk di tangga?” Maknanya, orang berkenaan berkunjung ke rumah orang lain, batuk-batuk di tangga, dan pergi begitu saja. Orang berkenaan boleh mendakwa bahawa dia telah menjalankan tugasnya pergi ke rumah berkenaan, tetapi tidak mendapat layanan, lalu beredar. Dia sepatutnya memberi salam, atau memanggil tuan rumah, bukan sekadar batuk-batuk!

Perkataan ‘batok’ daripada bahasa Jawa, manakala ‘batuk’ ialah perkataan Melayu.

Maksud makalah ini ialah untuk menyatakan kita boleh saja mencadangkan yang lain, namun kita jangan terus mempersalah sesuatu yang telah diterima pada masa silam. Contoh lain dalam hal ini ialah “Harapkan pagar, pagar makan padi.” Saya telah membaca tulisan Johardy Ibrahim (Mingguan Malaysia, 14 Disember 2014) dan beberapa tulisan lain sebelumnya. Kita hormati pandangan yang mengatakan berkemungkinan “ayam pegar” telah disalah sebut, jadi “pagar”.

Sekarang, beberapa peminat bidang ini menyuarakan pandangan bahawa ‘pegar’ perlu mengatasi ‘pagar’, kerana ‘pagar’ tidak mungkin makan padi. Jika fikiran logik biasa telah digunakan dalam kawasan absurdity hasilnya tentulah gambaran kartun. Tadi telah saya sebutkan telaga merayau di serata kampung mencari timba, dan juga murid berlari di padang sambil buang air. Kedua-duanya bukan kartun setelah diterima baik.

Ayam pegar yang berada dekat padi tentulah akan makan padi, jadi tidak munasabah kita akan mengharapkan ayam itu menjaga padi. Jadi, peribahasa “Harapkan pegar, pegar makan padi” membawa maka penanda kebodohan. Peribahasa ‘pagar makan padi’ adalah sehebat ‘telaga cari timba’, biarpun tidak munasabah dalam logika realisme. Kedua-duanya membawa kita ke imaginasi, membayang kejadian di luar kebiasaan harian.

Dalam realiti politik, jika tokoh A menghendaki jawatan menteri besar, janganlah dia mengharapkan pertolongan daripada tokoh B yang mengimpikan jawatan sama. Tokoh B akan berusaha memadam peluang tokoh A. B akan “makan padi”, sebelum “padi” tiba ke tangan A.

Jadi, perkataan ‘pagar’ itu sesuai untuk membawa makna penjaga, kerana tokoh A percaya kepada tokoh B yang tampaknya berusaha menjaga kepentingannya.

Bagaimana dengan pegar? Wujudkah ‘pegar makan padi’ dalam politik. Kita ambil contoh ini: Perdana Menteri memberi peluang kepada tokoh pembangkang menjadi timbalannya. Dalam keadaan demikian, tentulah pembangkang yang ‘berjiwa pegar' akan berusaha untuk makan padi sebanyak-banyaknya. Sudah diketahui pegar sejati, disuruh juga menjaga padi!

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers