Thursday, 6 April 2017

Kerajaan kena kawal harga rumah - Cuepacs

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda ketika sidang media pada
Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan
Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan
Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) hari ini.
- Foto Bernama

MUAR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah badan berkaitan berperanan mengawal harga rumah bagi membolehkan penjawat awam memiliki kediaman sendiri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, perkara itu perlu diperhalusi berikutan pihaknya kini menerima sehingga 40 peratus aduan membabitkan permohonan membeli rumah oleh kakitangan kerajaan yang ditolak.

"Kami menerima banyak aduan daripada penjawat awam berkaitan permohonan pinjaman untuk membeli kediaman sendiri ditolak samaada melalui bank atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

"Ia ditolak berikutan faktor gaji yang tidak mencukupi. Justeru, kita mengharapkan agar pihak kerajaan dapat memainkan peranan dengan mengawal harga kediaman ini melalui penubuhan majlis rundingan harga rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Anulae Cawangan Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Kospeta Malaysia Berhad, Kawasan Muar, di Dewan Jubli Intan, di sini, sebentar tadi.

Azih berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, hampir separuh penjawat awam di Lembah Klang gagal memiliki kediaman sendiri termasuk di Ibu Kota iaitu seramai kira-kira 5,000 golongan berkenaan yang belum berjaya membeli rumah.

"Jangan biarkan pasaran yang menentukan harga kerana jika itu terus berlaku, maka lebih ramailah golongan muda yang baru berkerja dan berkahwin terus-terusan menyewa," katanya.

Bernama

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers