Sunday, 23 April 2017

Kaki pelajar terpaksa dipotong, warden sebat kaki ditahan polis

Tags

JOHOR BAHRU 22 April - Luluh hati seorang ibu apabila kedua-dua kaki anaknya terpaksa dipotong kerana hanya cara itu yang mampu untuk menyelamatkan nyawanya.

Itu situasi menyayat hati dihadapi Felda Wani Ahmad, 40, ibu kepada Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11, pelajar sebuah madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang masih koma setelah kedua-dua belah kakinya dipotong semalam akibat dijangkiti kuman dan darah beku.

Felda Wani yang merupakan guru di sebuah sekolah rendah di Ulu Tiram di sini berkata, anaknya pernah mengadu bahawa dia bersama rakan-rakannya beberapa kali dipukul menggunakan paip getah oleh seorang pembantu warden di madrasah tahfiz berkenaan.

“Anak saya bercita-cita menjadi seorang tahfiz, sebab itu dia sendiri meminta untuk dimasukkan ke madrasah tahfiz berkenaan pada 27 Januari lalu.

“Pada mulanya semua dalam keadaan baik, namun lama kelamaan anak saya mengadu dia dan rakan-rakannya beberapa kali dipukul di tapak kaki dan betis dalam keadaan bersujud oleh pembantu warden berkenaan,” katanya ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Menurut Felda Wani, pada mulanya dia menganggap tindakan pembantu warden itu hanya sebagai pengajaran, namun setelah didesak oleh anak ketiga daripada lima beradik itu untuk berhenti, dia mengambil keputusan membawa anaknya pulang ke rumah pada 31 Mac lalu.

Katanya, keadaan kesihatan anaknya itu semakin merosot setelah dibawa keluar dari pusat tahfiz berkenaan hingga terpaksa dima­sukkan ke wad HSI pada Rabu lalu.

“Kedua-dua kaki anak saya menjadi lebam kemerahan dan doktor yang merawat mengatakan terdapat darah beku dan jangkitan kuman yang telah merebak ke tangan kanan selain buah pinggangnya.

“Doktor tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melakukan pembedahan semalam bagi memotong kedua-dua belah kaki anak saya bagi mengelakkan kuman itu daripada merebak,” katanya.

Felda Wani berkata, dia dan suami, Mohd. Gaddafi Md. Karim, 43, telah membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram di sini Selasa lalu dan masih menunggu laporan penuh perubatan anaknya itu.

Dia sekeluarga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas madrasah tahfiz itu sekiranya wujud elemen kecuaian hingga menyebabkan kedua-dua kaki anaknya itu terpaksa dipotong.

Seorang pembantu warden asrama pusat tahfiz swasta di sini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul membabitkan pelajar tahfiz berusia 11 tahun sejak Januari lalu.

Perintah reman bermula hari ini hingga Rabu ini dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin terhadap lelaki berusia 29 tahun terbabit.

Lelaki tersebut ditahan pihak polis di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, dekat sini pada pukul 4 petang semalam selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Dalam kejadian berkenaan mangsa dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua kakinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. - UTUSAN ONLINE

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers