Sunday, 16 April 2017

Kajian menyeluruh tingkat perpaduan pelajar - Menteri Pendidikan

Foto via Astro Awani
PADANG TERAP 15 April - Kajian menyeluruh dalam sistem pendidikan khususnya membabitkan silibus dan program di sekolah akan dijalankan bertujuan memantapkan tahap perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian memandang serius kebimbangan pimpinan negara berhubung perpaduan nasional yang disifatkan masih rapuh.

“Kita sudah ada program di peringkat kementerian untuk meningkatkan tahap perpaduan barangkali program yang sedia ada harus dikaji balik, dipertingkat atau diperbanyakkan.

“Contoh berkaitan silibus kalau dulu ada subjek Kesedaran Sivik yang bercakap tengang perpaduan, pemimpin dan bangsa. Mungkin kita boleh tengok mata pelajaran seumpama ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas me­nyampaikan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) di Kampung Barokhas, Kuala Nerang di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, sistem pendidikan negara perlu dikaji semula bagi mewujudkan perpaduan nasional terutama dengan kehadiran sekolah pelbagai aliran ketika ini.

Mahdzir menambah, Timbalan Perdana Menteri mahu melihat bagaimana Kementerian Pendidikan boleh melakukan sesuatu supaya perpaduan negara yang pelbagai kaum ini dapat diperkukuhkan dalam pendidikan.

Tambah beliau, ­­usaha me­ningkatkan perpaduan nasional itu juga memerlukan perhatian daripada semua pihak bukan sekadar di bahu kerajaan.

“Kita tumpu kepada usaha untuk tingkatkan perpaduan kerana tidak mahu ia rapuh walaupun dengan sedikit hasutan. Ini yang pemimpin mahukan iaitu kita tidak curiga antara satu sama lain.

“Sekolah lain-lain iaitu pelajar tahfiz ke sekolah tahfiz, pelajar Cina ke sekolah Cina, mereka tidak bertemu jadi kita akan lakukan sesuatu macam mana boleh mereka ini saling mengenali di luar seperti kata pepatah tidak kenal maka tidak cinta,” katanya.

Sumber: Utusan

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers