Thursday, 27 April 2017

Henti tular isu tidak benar berkaitan sekolah, elak beri tekanan kepada guru

Tags

Foto via Utusan Online
JERANTUT 26 April – Ibu bapa dan masyarakat perlu menghentikan tabiat menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai sesuatu perkara yang berlaku di sekolah bagi mengelak tekanan kepada warga pendidik.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, tindakan segelintir masyarakat yang membuat tular mengenai se­suatu kejadian di sekolah tanpa mengetahui kebenarannya amat mendukacitakan.

“Sebagai bekas seorang guru, saya kecewa melihat senario masyarakat hari ini yang membuat tular mengenai pelakuan negatif guru di sekolah sehingga mencederakan pelajar biarpun perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku.

“Apabila pelajar balik mengadu kepada ibu bapa bahawa kesan luka dan lebam pada badan kerana dipukul guru, ahli keluarga mereka terus membuat tular di media sosial tanpa mendapatkan penjelasan pihak sekolah terlebih dahulu,” katanya selepas majlis Ramah Mesra Ahli Parlimen Bersama Guru-guru dan Komuniti Felda Parlimen Jerantut di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Besar Felda Wilayah Jengka, Abd. Malib Abd. Rani; Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Ali Affendi Abd. Majid dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah, Mohd. Sabri Yaacob.

Pada majlis itu, Ahmad Nazlan turut menyampaikan anugerah kepada sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Ahmad Nazlan berkata, ibu bapa sepatutnya mendapatkan pengesahan pihak sekolah terlebih dahulu sebelum membuat tular di media sosial namun perkara sebaliknya berlaku.

“Terdapat beberapa kes yang menunjukkan kesalahan bukan berpunca daripada guru seperti yang digembar-gemburkan sehingga masyarakat luar memberi komen negatif kepada guru,” katanya.

Sumber: Utusan Online

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers