Wednesday, 26 April 2017

CCTV rakam pelajar tahfiz dipukul di tapak kaki, dakwa gabungan sekolah tahfiz

Tags

Foto via Free Malaysia Today
PUTRAJAYA: Sebuah pertubuhan bertanggungjawab hal ehwal sekolah-sekolah tahfiz di Malaysia mempertahankan tindakan seorang pembantu warden di sebuah sekolah tahfiz di Johor yang didakwa memukul seorang pelajar sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood mendakwa berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terbabit, pelajar tahfiz itu hanya dipukul di tapak kakinya sahaja.

Zahid berkata pihaknya sedang menimbang untuk mengambil peguam untuk membela sekolah dan guru terbabit.

“Kita lihat CCTV di sekolah itu, didapati memukul di satu kaki sahaja di tapak kaki dan berkemungkinan ada isu lain.

“Maklumat ini kita dapat setelah turun ke sekolah tahfiz itu dan berjumpa dengan pihak sekolah iaitu pengetua dan guru sekolah tahfiz itu,” katanya selepas hadir dalam satu majlis penyampaian peruntukan kepada sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz berdaftar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini.

Kisah pelajar sekolah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin, 11, dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, minggu lalu menjadi tular di media sosial.

Thaqif dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden.

Kedua-dua kakinya itu kemudian terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak.

Seorang pembantu warden direman 4 hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, dilaporkan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya.

Ibu saudaranya, Nurul Nabila Ahmad, 30, berkata Thaqif yang kini ditempatkan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) masih dalam keadaan kritikal, namun bengkak pada mukanya sudah surut selepas menjalani dialisis.

Nabila berkata keluarga mereka turut dimaklumkan doktor, pembedahan yang dilakukan semalam bagi membuang darah beku menunjukkan hasil positif dan berkemungkinan besar tangan tersebut dapat diselamatkan.

Zahid meminta masyarakat di luar termasuk media untuk memberi ruang kepada pihak yang bertanggungjawab menjalankan siastan terhadap kes itu sebelum membuat tuduhan.

Tekanan

Katanya, sikap menunding jari kepada sebelah pihak hanya menunjukkan sekolah tahfiz itu dilihat sebagai tempat pengganas.

“Sebab tak ada keputusan lagi dan saya harap kita masyarakat beri ruang sepenuh-penuhnya kepada pihak berwajib seperti polis buat siastan, doktor buat siasatan perubatan, supaya mendapat satu jawapan yang telus.

“Apa kita lihat hari ini, rakyat menunding jari terus kepada sekolah, ustaz, sedangkan benda itu berlaku lepas 2 minggu.

“Janganlah kerana nyamuk seekor kita bakar kelambu dan seluruh tahfiz dilabelkan mendera, pengganas,” katanya.

Sementara itu, seorang pengetua sekolah tahfiz dari Baling, Kedah, Abdul Rahman Yahya Tohar berkata gangguan emosi guru tahfiz mungkin antara puncanya.

Katanya, jika dilihat peraturan yang ditetapkan sekolah tahfiz tidak membenarkan pelajar tahfiz dipukul.

“Kalau apa-apa kesalahan, dia akan rekod dan bawa kepada pengetua.”

Menurutnya, hukuman disiplin termasuk denda, gantung atau buang sekolah.

“Jika rotan pun hanya tempat yang tidak menyakitkan dan memudaratkan seperti di tapak kaki. Itu pun jika pelajar tahfiz itu betul-betul degil,” katanya kepada FMT.

Menurut Abdul Rahman, pelajar tahfiz biasanya akan diberikan nasihat jika membuat sesuatu kesalahan.

“Tetapi ada juga mungkin guru yang tak tahan sangat akan rotan tetapi tidak sampai memudaratkan. Melainkan ketika itu guru tahfiz tersebut ada masalah tekanan di rumah atau masalah kerja yang menyebabkan pelajar tahfiz yang dipukul cedera.

“Itu pun kalau berlaku hanya kes terpencil,” katanya.

Sumber: FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers