Friday, 21 April 2017

Bukan semua murid mampu miliki peranti elektronik

Tags

Foto via FMT
PETALING JAYA: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) meminta kerajaan mengkaji rancangan membenarkan pelajar menggunakan peranti elektronik dengan teliti, terutamanya daripada segi kos.

Mereka berkata demikian selepas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid kelmarin dilaporkan berkata kementerian merancang membenarkan pelajar menggunakan peranti seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit di sekolah.

Bercakap kepada FMT, Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Rahim mahu kerajaan memastikan pelajar yang tidak mampu memiliki peranti elektronik tidak ketinggalan.

“Pelajar yang mampu memiliki peranti sedemikian mungkin kebanyakannya dari kawasan bandar,” katanya.

Kementerian pendidikan digesa melihat pelaksanaan sistem itu di sekolah swasta dan antarabangsa.

“Sejak sekian lama kementerian pendidikan mahu membenarkan peranti di sekolah dan guru membantah kerana percaya ia boleh menimbulkan masalah kepada mereka.

“Saya rasa kementerian pendidikan perlu melihat bagaimana sekolah swasta dan antarabangsa melaksanakannya. Mereka tiada masalah kerana ada kawalan ketat.”

Azimah pernah bertemu pelajar sekolah swasta dan antarabangsa yang memberitahu mereka tiada masa “bermain” di internet kerana terlalu sibuk.

“Mereka tiada kesempatan singgah di media sosial kerana mereka perlu melayari internet untuk kerja sekolah.

“Ada peraturan ketat mengenai penggunaan peranti elektronik yang dikuatkuasakan dengan tegas.

“Pokoknya, perlu ada kawalan ketat, jika tidak peranti elektronik hanya menimbulkan lebih banyak masalah di sekolah.”

SUMBER: FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers