Saturday, 1 April 2017

Bapa tak sangka bahan jenaka jadi isu perkauman di sekolah

Tags

PETALING JAYA: Seorang bapa tampil mempertahankan guru di sebuah sekolah kebangsaan di sini yang dituduh bersifat perkauman dengan membuat soalan rasis dalam ujian Pendidikan Moral diambil anaknya.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Arvin Gold tidak menyangka niat asalnya sekadar berjenaka menjadi kritikan ramai yang mendakwa ia adalah soalan berbaur perkauman.

Beliau memuat naik 1 soalan dalam peperiksaan Pendidikan Moral yang memerlukan pelajar memadankan nama individu dengan rumah ibadat mereka, ke Facebooknya.

Nama Devi, Hock Lee, Kamal dan Steve perlu dipadankan dengan sebuah gereja, kuil Hindu, tokong Buddha dan masjid. Bagaimanapun, catatan itu menjadi viral selepas pelakon, Sarah Lian yang juga kawan Arvin berkongsi soalan itu di Instagram.

Dalam gambar yang dikongsi Lian itu, anak perempuan Arvin memadankan Devi dengan gereja, Steve dengan kuil Hindu, Kamal dengan tokong Buddha dan Hock Lee kepada masjid.

Pengguna Internet berang kerana guru yang memeriksa kertas soalan pelajar darjah 1 itu menandakan semua jawapan berkenaan salah.

Arvin berkata, tidak adil menyalahkan pihak sekolah dan guru yang sebenarnya sudah berjasa dalam mewujudkan keharmonian kaum di kalangan pelajar.

“Ia bermula sebagai jenaka di laman Facebook saya dan rakan saya (Lian) bertanya jika dia boleh berkongsi dan saya kata ‘sudah pasti’.

“Bagaimanapun, keadaan mula menjadi tidak terkawal dan kini orang ramai menyalahkan pihak sekolah serta guru dan saya tak rasa itu betul kerana mereka hanya mengikut sukatan pelajaran serta buku teks.”

Arvin mengandaikan soalan itu dibuat berdasarkan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

“Soalan itu bertujuan memaklumkan kepada pelajar yang penganut Hindu pergi ke kuil Hindu, penganut Buddha pergi ke kuil Buddha, penganut Kristian pergi ke gereja dan umat Islam pergi ke masjid, dan ia tidak salah.

“Saya rasa kertas soalan itu mahu pelajar berfikir di luar kotak, daripada menamakan agama secara terus, ia sebaliknya memberikan pelbagai rumah ibadat dan nama tipikal penganut agama itu.”

Jika ada perkara yang perlu diubah tentang soalan itu, beliau berpendapat soalan itu perlu dijawab pelajar darjah 6, bukannya darjah 1.

“Anak perempuan saya di darjah 1 dan mungkin dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan itu pada usia semuda itu.”

Katanya, dakwaan sekolah itu bersifat perkauman tidak benar sama sekali kerana beliau dan isterinya memilih sekolah itu untuk anak mereka berdasarkan komposisi kaum yang seimbang dan pelajar berbilang kaum sering dilihat bergaul bersama.

“Saya berbangsa India dan isteri saya yang merupakan orang Cina adalah produk sekolah itu. Kami memutuskan untuk menghantar anak kami ke sekolah itu kerana keharmonian kaum yang sangat jelas wujud di sana.

“Kami sebenarnya sangat bangga dengan sekolah itu kerana ia sentiasa mempunyai pengetua dan guru sangat berdedikasi.

“Ia sentiasa menjadi salah sebuah sekolah terbaik di Selangor dan merupakan salah sebuah daripada beberapa, jika bukan satu-satunya, sekolah di Malaysia dengan gabungan seimbang 3 kaum utama.

“Kejadian ini tidak sepatutnya memadamkan semua usaha guru dan kakitangan untuk membangunkan sekolah itu sehingga mempunyai pencapaian hari ini.”

Sumber: FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers