Monday, 20 March 2017

SPM sekurang-kurangnya 9A+ boleh mohon tajaan JPA

PUTRAJAYA 19 Mac – Pelajar yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 boleh memohon untuk dipertimbangkan bagi Program Penajaan 9A+ Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Zai­nal Rahim Seman berkata, pelajar yang layak akan ditaja di peringkat persediaan hingga ijazah pertama dalam bidang yang ditetapkan kerajaan di universiti awam (UA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara.

“Berikutan dengan perta­nyaan oleh beberapa pihak me­ngenai program penajaan ini, adalah dijelaskan bahawa se­mua pelajar mencapai keputusan sekurang-kurang­nya 9A+ boleh memohon untuk dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan timbul kekeliruan dalam kalangan pelajar cemerlang SPM mengenai program itu, apabila dimaklumkan ha­nya mereka yang mendapat A+ dalam semua subjek diambil, layak mendapat tajaan.

Zainal Rahim berkata, JPA memperkenalkan Program Pe­najaan 9A+ itu memandangkan Program Busary telah dimansuhkan pada tahun ini, selain mengambil kira pencapaian pelajar yang cemerlang.

Menurut beliau, Program Bursary tahun 2016 telah dilaksanakan secara one-off oleh JPA sebagaimana diputuskan kerajaan dan ini bermakna pada tahun ini, program tersebut tidak lagi diteruskan sebalik­nya dimansuhkan.

Katanya, sejajar dengan keputusan­ kerajaan bagi Mo­del Baharu Penajaan JPA 2017, program penajaan yang masih dikekalkan pelaksanaannya ada­lah Program Penajaan Nasional (PPN) dan Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ).

Di bawah PPN, beliau berkata, penajaan diberikan kepada 20 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2016 berdasarkan senarai Lembaga Peperiksaan untuk melanjutkan pelajaran ke 10 universiti terbaik dunia mengikut QS World University Ranking berdasarkan bidang pengajian.

Bagi program JKPJ pula, penajaan diberikan kepada 200 pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Bagaimanapun katanya, penajaan dalam bidang sains dan teknologi dan sains sosial ke negara Jepun, Korea, Perancis serta Jerman boleh dipertimbangkan dan tertakluk kepada keputusan kerajaan.

Zainal Rahim berkata, Mo­del Baharu Penajaan JPA adalah langkah untuk memastikan negara mendapat pulangan dan manfaat yang optimum daripada pelaburan diperuntukkan.

Justeru, program penajaan JPA memfokus kepada empat teras utama iaitu merit dan inklusiviti; golongan berpendapatan rendah B40, sederhana M40 dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET); pembangunan Malaysia sebagai hab pendidikan; dan pula­ngan pelaburan kerajaan.

Katanya, pelajar lepasan SPM 2016 yang berminat memohon program-program penajaan yang ditawarkan JPA boleh melayari portal rasmi JPA di www.jpa.gov.my atau esilav2.jpa.gov.my.

Jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut mengenai program tajaan atau masalah teknikal, JPA turut menyediakan talian khas (hotline) 03-8885 3049 untuk dihubungi pada setiap hari bekerja (8:30 pagi hingga 5:30 petang) bermula 16 Mac hingga 5 Mei ini. – BERNAMA


jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers