Tuesday, 14 March 2017

Pelajar juga boleh ditahan dilokap polis berkuatkuasa Januari lalu

Sumber foto: Kuala Lumpur post
KUALA TERENGGANU - Pelajar atau murid yang terbabit dalam kes buli atau gaduh akan ditahan di lokap polis seperti pelaku jenayah dewasa sepanjang tempoh tahanan reman yang ditetapkan mahkamah, berkuat kuasa Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, polis tidak akan sesekali berkrompromi dengan pelajar yang terbabit dalam kes buli atau gaduh meskipun mereka masih di bawah umur.

“Bermula tahun ini, pelajar terlibat akan ditahan dilokap seperti pelaku jenayah dewasa kerana polis memandang serius berkaitan permasalahan jenayah ini bagi mengelak mereka terjebak dalam kancah jenayah yang lebih berat,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Watikah Perlantikan Pemimpin Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini, semalam.

Mohmad berkata, walaupun tindakan ini dilihat keras namun ia adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencegah jenayah tersebut daripada terus berlaku, malah perkara ini sudah pun mendapat restu daripada pucuk pimpinan iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Jika tindakan awal tidak diambil, kita bimbang permasalahan jenayah dalam kalangan pelajar terus berleluasa termasuk boleh terjadinya kes pembunuhan.

“Diharapkan dengan cara ini, dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada pelajar untuk tidak mengulangi dan menjadi ingatan kepada orang lain,” katanya.

Jelasnya, kes buli dalam kalangan pelajar amat jarang berlaku namun ia digambarkan dengan begitu buruk di media sosial.

“Dulu pun ada kes buli namun tidak digambarkan kerana tiada teknologi seperti sekarang. Video yang tersebar menunjukkan secara jelas mangsa dipukul tanpa belas kasihan dan ini perlu ditangani supaya ia tidak berleluasa,” katanya.

Dalam masa sama, Mohmad turut mengingatkan tindakan dan hukuman itu tidak saja tertakluk kepada kes membabitkan buli atau bergaduh semata-mata, namun termasuk juga jenayah seperti dadah, salah laku disiplin dan isu membawa kenderaan tanpa lesen ke sekolah.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers