Monday, 20 March 2017

Kerajaan perkenal kaedah belajar Inggeris untuk pelajar luar bandar

PUTRAJAYA: Satu kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dalam talian, Cambridge Accessible Tests (CATs), akan diperkenalkan dengan tumpuan diberikan kepada pelajar luar bandar, kata menteri pendidikan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek perintis itu akan bermula menjelang hujung tahun ini melibatkan kira-kira 40 sekolah rendah dan menengah di luar bandar dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh 1 atau 2 tahun lagi.

Dibangunkan dengan kerjasama Cambridge Malaysia Education and Development Trust (CMEDT), Mahdzir berkata, sebuah jawatankuasa kerja yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan CATs.
“Saya berpendapat ini satu daripada program sangat baik untuk pelajar, terutamanya di luar bandar yang kurang terdedah kepada bahasa Inggeris,” katanya selepas majlis penerangan Strategi Pelaksanaan Pendidikan Bahasa Inggeris ke Arah Kemenjadian Murid, hari ini.


Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif CMEDT, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Mahdzir berkata, reka bentuk CATs dibangunkan CMEDT dan guru bahasa Inggeris turut dilatih di English Language Training Centre (ELTC), Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan program itu.

Sementara itu, Pengarah ELTC, Dr Mohamed Abu Bakar berkata, CATs berfungsi sebagai kaedah tambahan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melibatkan 9 tahap penguasaan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan diuji dari satu tahap ke satu tahap dan jika mereka mampu menyempurnakan semua 9 tahap, maksudnya penguasaan mereka sangat bagus.

“Apabila pelajar selesai 9 tahap pembelajaran di sekolah rendah, mereka akan bermula semula pada tahap pertama di sekolah menengah,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan CATs dijangka mampu meningkatkan peratusan pelajar lulus bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 79.4% pada 2016 kepada sasaran 81% menjelang 2020.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers