Friday, 10 March 2017

'Jangan sentuh anak saya...'

Tags

PETALING JAYA: Ramai ibu bapa tidak setuju guru mengenakan hukuman fizikal terhadap anak mereka di sekolah.

Tinjauan FMT mendapati mereka melahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang apabila guru memukul pelajar mereka.

“Semasa saya kecil, saya dicubit dan dipukul oleh guru dan ia meninggalkan kesan trauma,” kata Hasinah Akhir, 30, ibu seorang anak perempuan.

“Ia bukan saja mengaibkan kita di depan rakan tetapi ia menjatuhkan maruah dan akhirnya kita fikir betapa bodohnya kita kerana itulah apa yang guru kita difikirkan.”

Aina Wati Shariff, 54, ibu 4 orang anak bersetuju dengan Hasinah, berkata guru yang memukul muridnya menjadikan mereka tidak selesa ke sekolah.

“Apabila anda memukul kanak-kanak, ia mungkin kelihatan seperti perkara kecil tetapi ia mengganggu emosi kanak-kanak.

“Akhirnya mereka menjadi takut untuk ke sekolah, takut kepada guru dan seterusnya mereka membenci sekolah.”

Baru-baru ini, seorang ibu dihukum penjara dan denda kerana menampar guru sekolah rendah yang mencubit anaknya 2 tahun lalu.

Tan Seow Yen, 35, dituduh menyebabkan kecederaan kepada L Vanitha, 38, guru di sekolah jenis kebangsaan di Sungai Bakap.

Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), guru perlu akur kepada garis panduan Kementerian Pendidikan mengenai cara mendisiplinkan murid.

Bagaimanapun, Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak mengakui reaksi ibu bapa zaman kini berbeza.

“Zaman dahulu ibu bapa memberikan kerjasama. Sekarang dia terlalu membela anak-anaknya. Kadang-kadang pelajar ada sesetengahnya yang hiperaktif, macam-macam perangai,” katanya kepada FMT.

Sabar

Ibu yang ditemubual FMT berkata guru perlu lebih sabar berdepan dengan kerenah kanak-kanak.

“Guru perlu bersabar kerana tidak semua kanak-kanak boleh belajar secepat rakan mereka dan ada yang memerlukan anda untuk mengajar mereka berulang kali sebelum mereka benar-benar faham.

“Ini bergantung kepada guru itu sendiri, mereka perlu diajar bagaimana untuk mengendalikan pelajar dan bukannya memukul mereka,” kata Aina.

Shamin Bakar, 39, ibu kepada 6 orang anak, juga bersetuju sabar adalah kunci apabila menjadi seorang guru.

“Guru sepatutnya bersabar kerana ia perkara paling penting, jika anda tidak boleh bersabar atau anda membenci kerjaya ini, anda boleh berhenti.

“Sekiranya pelajar lambat atau tidak dapat menjawab soalan maka itu kegagalan anda, bukan pelajar itu,” katanya.

Dia mengingatkan kembali insiden guru memukul anaknya semata-mata kerana mereka tidak dapat menjawab beberapa soalan.

“Anak lelaki saya dipukul di pergelangan tangan dan anak perempuan saya dipukul di kepala kerana mereka tidak dapat menjawab beberapa soalan.”

Hasinah berkata pendidikan lebih daripada hanya mendapat gred yang baik.

“Guru sepatutnya mendidik anak kita dan tidak hanya mengajar anak saya matematik atau bahasa, tetapi mendidik beliau dengan nilai yang betul.

“Apabila anda memukul mereka anda tidak mengajar dia nilai yang betul.”

Ruang ibu bapa

Aina mencadangkan perlu ada ruang kepada ibu bapa untuk memberitahu guru sama ada mereka bersetuju atau tidak anak mereka dihukum di sekolah.

“Saya rasa perlu ada satu mekanisme di mana ibu bapa dapat memberitahu sekolah sama ada setuju atau tidak apabila guru mahu memukul anak mereka.

“Hanya ibu bapa dibenarkan menyentuh anak mereka.”

Sementara itu, seorang ibu yang ditemubual FMT berkata guru perlu menghukum pelajar jika mereka nakal.

“Saya rasa guru perlu diberi hak untuk mendisiplinkan anak kita terutama pada masa kini kerana mereka sukar dikawal dan jika anak-anak saya lakukan perkara yang nakal di dalam kelas, saya lebih selesa mengetahui ada guru di dalam bilik darjah yang akan memerhatikan mereka,” kata Gayathri Subramaniam.

“Jika anda merotan, anda hanya merosakkan kanak-kanak itu,” kata Gayathri, 36, ibu kepada 2 anak.

“Saya setuju jika guru menghukum kanak-kanak apabila mereka nakal dan memberi ganjaran apabila mereka baik, ini akan mengajar mereka bagaimana untuk bertanggungjawab apabila mereka dewasa kelak.”

Sumber: FMT
jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers