Thursday, 23 March 2017

Jangan biarkan luka terus bernanah

Tags

Sumber foto: Sinar Harian
MALAYSIA adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza kepercayaan, budaya dan bahasa. Perbezaan ini menyukarkan usaha memacu pembangunan negara. Suatu formula jitu dan ampuh diperlukan untuk mencapai perpaduan dan integrasi semua etnik menjadi satu bangsa Malaysia dengan memiliki satu identiti nasional.

Salah satu medium untuk mencapai perpaduan itu ialah melalui penyatuan bahasa. Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan negara sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 iaitu hampir 60 tahun lalu.

Malangnya, dalam tempoh hampir enam dekad itu, ada yang masih terkial-kial berbahasa Melayu. Buktinya, secara purata sekitar 35,000 pelajar gagal mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun. Mereka ini tidak berjaya memperoleh sijil penuh. Ini juga bermakna mereka gagal SPM.

Satu kajian oleh Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong melaporkan 604 daripada 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara 2010 yang bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu, sedangkan ada antara mereka lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan SPM.

Beliau turut mendakwa bilangan generasi muda bukan Melayu yang gagal bertutur bahasa kebangsaan dikhuatiri meningkat pada masa depan kerana hampir 90 peratus daripada mereka bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Hujah ini disokong oleh penganalisis sosiopolitik, Khoo Kay Peng, yang mengatakan keadaan itu berlaku bukan kerana pengajar­an Bahasa Melayu di SJK lemah, sebaliknya kurang­nya pendedah­an menjadi punca mereka gagal menguasai bahasa itu. Pendedahan secara lisan yang kurang sama ada di sekolah mahupun di rumah menjadi punca segelintir pelajar bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu.

Pendidikan sepatutnya menjadi medium penyatuan malang­nya, sistem persekolahan pelbagai aliran menambahkan jurang perpaduan kaum.

Sebenarnya ramai di antara kita alpa, sistem pendidikan sekarang masih mengekalkan dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan oleh penjajah British sejak abad ke-19. Pemisahan golongan berpelajaran Inggeris dan vernakular hanya untuk menjaga kepentingan ekonomi pada masa itu bukan bertujuan menyatupadukan rakyat. Kesannya, stigma perkauman tumbuh dengan kuat di tanah air kita.

Satu ketika dahulu kita menyedari akan racun yang disemai oleh pihak British maka kita mewujudkan Jawatankuasa Razak, 1956. Laporan Razak yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri kita, berusaha agar sukatan pelajar sekolah adalah sama. Ini bertujuan mewujudkan nilai-nilai integrasi dalam kalangan para pelajar.

Antara matlamat utama Penyata Razak ini ialah:

1. Semua sekolah di Tanah Melayu mempunyai satu sukatan yang sama.

2. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

3. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah dan menengah

4. Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu

5. Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan kaum dapat dikurangkan.

6. Mewujudkan masyarakat yang toleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan progresif.

Idea ini mendapat tentangan kuat dari orang bukan Melayu. Maka kerajaan yang baik hati mewujudkan pula Jawatankuasa Rahman Talib pada 1960 untuk melihat kembali hasil Laporan Razak. Laporan Rahman Talib inilah yang menjadi tunjang Akta Pelajaran 1961.

Secara umumnya Laporan Rahman Talib bersetuju dan menyokong hampir kesemua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak, dan terhadap beberapa usul tambahan. Dalam mencapai matlamat menyatupadukan kaum, Laporan Rahman Talib mengesyorkan supaya pendidikan di peringkat sekolah rendah diberikan secara percuma, dan membolehkan kanak-kanak menikmati alam persekolahan dalam sistem pendidikan, manakala untuk mewujudkan dan mengeratkan perpadu­an kaum, peperiksaan juga telah diadakan dalam satu bahasa iaitu sama ada bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Namun ketika ini, seolah-olah sifat sayangkan apatah lagi jati diri kepada negara ini semakin pudar. Ditambah parah dengan cada­ngan pengiktirafan sijil UEC maka satu persoalan utama kini timbul, apa terjadi dengan wasiat keenam raja-raja Melayu sebelum kita mencapai kemerdekaan? Untuk mereka yang buta sejarah wasiat ini diberikan oleh raja-raja Mela­yu semasa menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Adakah mereka ini tidak memahami wasiat tersebut dan implikasinya kepada negara kita? Adakah mereka juga boleh dianggap menderhaka kepada raja-raja kita?

Penulis tidak menafikan, tolak ansur dalam budaya juga telah menambahkan kemesraan antara kaum dan etnik. Kerana itu apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa ibunda lain masih boleh digunakan dengan bebas tanpa sekatan. Kaum-kaum lain dan kumpulan etnik bebas mempelajari bahasa ibunda tanpa dikenakan hukuman. Begitu juga dengan amalan budaya lain masih boleh diteruskan oleh komuniti walaupun budaya Melayu jelas diamalkan di negara kita. Tolak ansur ini bertujuan menjaga perasaan semua kaum dan etnik di negara kita supaya segala prasangka dapat dihapuskan. Namun bahasa Mela­yu hendaklah diutamakan dalam setiap urusan rasmi termasuklah peperiksaan utama negara ini. Ke­rana Bahasa Jiwa Bangsa.

Maka, penulis menyeru agar satu tindakan drastik untuk meru­bah sistem pendidikan semasa dengan mendaulatkan kembali bahasa kebangsaan dibuat kerana penulis yakin ini akan membawa perpaduan dan integrasi nasional kepada rakyat walaupun memakan masa yang lama.

Jangan kita biarkan luka yang sudah bernanah itu melarat sehingga terpaksa kita potong bahagian tubuh yang dijangkitinya.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI dari Universiti Utara Malaysia.

Sumber: Utusan Online

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers