Saturday, 25 March 2017

Isteri bersalin, beri cuti sebulan pada suami - MTUC

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan cuti bersalin untuk suami atau bapa diberikan selama sebulan kepada kakitangan kerajaan dan swasta dengan bayaran gaji penuh.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, cuti sedia ada yang diperuntukkan untuk pekerja buat masa kini masih tidak mencukupi.

Menurut laporan Astro Awani, ketika ini, cuti bersalin untuk suami atau bapa adalah selama tujuh hari untuk kakitangan kerajaan, manakala cuti ihsan bagi kakitangan swasta bergantung kepada majikan masing-masing.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita teliti paternity leave kerana apa yang kita lihat masa sekarang untuk perkhidmatan awam mereka dapat tujuh hari, kadang-kadang ada negeri dua minggu dan di swasta kalau keutamaan dia bagi lima hari atau kurang, dan ada kebanyakan syarikat swasta tidak beri peluang bapa berada di sisi semasa anak dilahirkan," katanya.

Cadangan itu dinyatakan susulan kebanyakan kes melibatkan pospartum psikosis atau meroyan yang dihadapi ibu-ibu selepas bersalin.

Menurutnya, suami harus diberi cuti panjang untuk menjaga isteri dan anak dengan lebih baik dan mengatasi masalah perubahan emosi wanita selepas bersalin.

“Kita tidak mahu kejadian seperti yang menimpa golongan ibu selepas bersalin baru-baru ini yang bertindak membunuh bayinya kerana dipercayai akibat Pospartum Psikosis. Janganlah kita biarkan lebih ramai yang meninggal baharu kita hendak bertindak sesuatu,” ujar Soloman.
jobs from my.neuvoo.com

Sehubungan itu, katanya lagi, kerajaan diminta mewujudkan satu undang-undang berkaitan bagi memastikan cuti bersalin untuk suami atau bapa dengan bayaran gaji penuh dikuatkuasa dalam akta berkenaan.

"Ketika ini, tiada peruntukan dalam mana-mana akta yang memasukkan cuti bersalin bergaji untuk bapa. Malah, Akta Kerja 1955 juga tidak menyentuh mengenai paternity leave itu.

“Jadi kerajaan perlu mewujudkan undang-undang berkaitan demi pembangunan institusi sesebuah keluarga," katanya lagi.

Google+ Followers