Saturday, 4 March 2017

Guru tak boleh paksa murid siapkan kerja sekolah?

Tags

Gambar hiasan
Kerja sekolah masih dianggap membebankan pelajar manakala bagi pihak guru, kerja sekolah dianggap satu kemestian.

Dolak-dalik mengenai kerja sekolah yang tidak pernah selesai ini akhirnya mengundang konflik dan polemik dunia pendidikan negara.

Benarkah tidak menyiapkan kerja sekolah itu satu kesalahan besar bagi pelajar?

Ketua Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak.

Beliau berkata, kerja sekolah memang sinonim dengan pelajar, namun ia juga boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).

“Definisi kerja sekolah itu sendiri boleh membawa pelbagai maksud iaitu dari sudut positif atau negatif bergantung kepada perkara utama yang disasarkan.

“Misalnya dari sudut negatif, kerja sekolah nampak membebankan namun dari sudut positif, ia boleh dijadikan pemangkin bagi memperkukuh dan memperbaiki kelemahan pelajar.

“Pelbagai penafsiran boleh diberikan mengenai kepentingan kerja sekolah kepada pelajar mengikut kriteria keperluan. Cuma jangan sampai mengganggu dan menimbulkan konflik lain,” katanya.

Beliau berkata, keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan guru sejak 10 tahun lalu.

“Menerusi surat pekeliling pada 2004 itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman pelajar.

“Selain itu, ia turut menyasarkan objektif lain seperti meneruskan kesinambungan pembelajaran di kelas, mengisi masa senggang pelajar dan meningkatkan kemahiran melalui latihan pemulihan.

“Jika melihat pada objektifnya, kerja sekolah memang penting kerana ia dilaksanakan bukan atas dasar ‘mendera’ golongan itu,” katanya.

Namun, walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada pelajar, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal seperti rotan.

“Jika menggunakan hukuman seperti itu, ia salah dan lari daripada matlamat sebenar pelaksanaan kerja sekolah itu.

“Hukuman berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan ‘hukuman’ dilakukan kerana kurangnya maklumat guru atau sekolah mengenai polisi kerja sekolah.

“Dalam modul pengajian, bagi bakal guru, tiada modul khusus disediakan sebagai garis panduan untuk mereka melaksanakan pemberian tugasan kerja sekolah kepada pelajar.

“Yang banyak ditekankan ialah mengenai etika dan cara pembelajaran, namun terlepas pandang aspek keperluan etika kerja sekolah.

“Kekurangan maklumat atau pendedahan sebagai garis panduan itulah mewujudkan isu tidak diingini mengenai kerja sekolah,” katanya.

Ditanya pandangannya, adakah satu kesalahan besar jika pelajar enggan membuat kerja sekolah, beliau berkata, ia bukan kesalahan serius yang memerlukan mereka diberi hukuman keterlaluan.

Menurutnya, tidak menyiapkan kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya.

“Saya tidak kata tangan guru terikat dalam isu ini sebab memberi kerja sekolah juga sebahagian cara membantu pelajar memperbaiki prestasi mereka.

“Kebolehan pelajar yang berbeza memerlukan satu mekanisme digunakan bagi meningkatkan pencapaian.

“Melalui kerja sekolah, pelajar yang lemah boleh dibantu untuk meningkatkan pencapaian mereka,” katanya.

Namun jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, beliau berkata, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Adalah melanggar hak pelajar jika guru terus memberikan hukuman tanpa mencari punca pelajar gagal menyiapkan kerja sekolah diberikan.

“Mungkin ada penyebabnya seperti kekangan masa, keletihan, kurangnya kefahaman dan sebagainya. Guru perlu menyelidik sebelum bertindak ke fasa seterusnya.

“Tidak adil jika terus memberikan hukuman. Tidak kira sama ada guru atau pelajar, jangan jadikan isu kerja sekolah sebagai satu konflik besar,” katanya.

Ditanya adakah jika guru bersikap ‘tidak apa’ terhadap pelajar yang enggan membuat kerja sekolah seperti memanjakan golongan itu, beliau berkata, ini bukan soal manja atau tidak sebaliknya menjurus kepada sikap toleransi.

“Tanggungjawab guru adalah memberi kerja sekolah dan memastikan pelajar membuatnya.

“Namun jika pelajar enggan, guru tidak boleh dipersalahkan kerana bidang kuasa mereka ada hadnya.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan kesalahan pada guru,” katanya.

Beliau berharap agar pertikaian mengenai kerja sekolah tidak berpanjangan hingga mengganggu banyak aspek lain.

“Yang menjadi keutamaan ialah melahirkan pelajar berjaya, seimbang serta mampu menjadi generasi boleh dibanggakan.

“Wujudkan keharmonian dalam sistem pendidikan dan jauhi konflik,” katanya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers