Saturday, 25 March 2017

Guru sekolah rendah antara 9 ditahan disyaki IS - KPN

Tags

KUALA LUMPUR: Sembilan lelaki termasuk seorang guru sekolah rendah yang disyaki terbabit dengan kegiatan militan IS ditahan di beberapa lokasi dalam negara antara 15 Mac hingga Selasa lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka terdiri daripada warga tempatan berumur antara 24 dan 46 tahun ditahan di Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor.

Suspek pertama yang ditahan pada 15 Mac lepas ialah seorang juruteknik Puspakom Sdn Bhd, berusia 27 tahun di Klang.

“Suspek merupakan salah seorang anggota sel kumpulan Telegram ‘Gagak Hitam’ (sel kumpulan pengganas IS yang terlibat dalam insiden letupan di Kelab Movida, Puchong).

“Suspek mengaku terlibat dalam penyaluran dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi bagi kegunaan IS di Syria,” katanya dalam kenyataan di sini.
Khalid berkata susulan daripada operasi itu polis menahan 2 lelaki, masing-masing berumur 37 dan 39 tahun pada 16 Mac lepas di Kulim, Kedah dan di Ipoh, Perak.

Menurutnya seorang suspek itu bekerja sebagai guru sekolah rendah dan seorang lagi sebagai pengawal keselamatan.

“Suspek yang bekerja sebagai guru itu mengaku menyebarkan ideologi salafi jihadi kumpulan IS melalui Facebook bagi merekrut anggota menyertai IS,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dipercayai merancang untuk menyusup keluar dari Malaysia bagi mebolehkannya menyertai kumpulan militan IS di Syria atau di Selatan Filipina.

Sementara itu, 2 lagi suspek ditahan pasa 17 Mac lepas ditahan di Perak masing-masing berumur 31 dan 28 tahun, bekerja sebagai pembantu kedai makan dan seorang lagi pemilik kedai veterinar.

“Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan telah merancang untuk melancarkan serangan ke atas balai polis di Tapah, Perak dan telah menghubungi dengan anggota IS di Indonesia bagi mendapatkan bahan-bahan letupan yang akan digunakan dalam serangan itu.

“Suspek juga mempunyai hubungan dengan bekas anggota IS di Poso, Indonesia dan aktif merekrut rakyat Malaysia,” katanya.

Khalid berkata tangkapan seterusnya membabitkan seorang mekanik berumur 32 tahun di Kuala Krai, Kelantan pada 20 Mac.

“Suspek disyaki menyalurkan dana untuk kumpulan Daesh di Syria dan mempunyai hubungan dengan seorang anggota IS di negara ini yang kini telah berada di Syria,” katanya.

Menurutnya tangkapan terakhir pada Selasa lepas membabitkan 3 lelaki, msing-masing di Kota Bharu, Kelantan; Segamat dan Kota Tinggi, Johor.

Khalid berkata suspek di Kelantan yang berusia 46 tahun itu disyaki terlibat dalam aktiviti merekrut anggota IS manakala suspek yang ditahan di Segamat berumur 20 tahun dan bekerja di sebuah kafe siber.

Manakala suspek ketiga yang ditahan di Kota Tinggi berusia 20 tahun bekerja di sebuah resort.

“Individu kedua dan ketiga disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas IS di Malaysia,” katanya.

Khalid berkata kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan jenayah di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Sumber: FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers