Friday, 10 March 2017

Gara-gara menegur, pegawai PPD dirempuh pelajar

Tags

Pegawai Penyiasat, Inspektor Tun Aiman Azemi (kiri)
bersama anggotanya menunjukkan kereta dipercayai
dipandu suspek untuk melanggar mangsa yang kini
dirampas di IPD Besut, Kampung Raja.
KAMPUNG RAJA - Tindakan seorang pegawai sukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut cuba menegur tiga remaja yang memasuki padang menggunakan kereta bertukar episod ngeri apabila dia dilanggar remaja terbabit di tepi jalan Kampung Amer dekat Alor Lintang, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, pegawai lelaki berusia 56 tahun berkenaan dipercayai sengaja dilanggar remaja berusia 16 tahun termasuk dua pelajar Tingkatan Empat dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz disyaki dipandu salah seorang pelajar tersebut di tepi jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek bertindak demikian dipercayai kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang cuba menegur mereka kerana memandu secara berbahaya di padang tempat berlangsung kejohanan Olahraga Majlis Sukan Daerah.

Menurutnya, mangsa cuba menegur kelakuan remaja terbabit kerana sejak hari pertama kejohanan berlangsung sehari sebelum itu mereka berkelakuan demikian di kawasan padang.

"Ketika ini sibuk guru dan pelajar terlibat dalam kejohanan tersebut dan tindakan suspek boleh membahayakan orang ramai.

“Mangsa cuba pergi menegurnya ketika itu, suspek tidak memberhentikan kereta sebaliknya keluar sambil seorang penumpang hadapan kereta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata, tidak lama kemudian ketika mangsa keluar daripada kawasan padang, dia mendapati kereta berkenaan berada di tepi jalan besar menghala ke Kampung Amer.

"Mangsa cuba menghampiri kereta ini, tiba-tiba kereta dipandu laju lalu melanggarnya menyebabkan mangsa melambung ke tengah jalan. Mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan termasuk sakit leher dan pinggang.

"Suspek kemudian terus melarikan diri selepas melanggar mangsa sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Raja," katanya.

Katanya, susulan laporan tersebut, polis menjalankan gerakan memburu suspek dan berjaya memberkas ketiga-tiga mereka masing-masing dua pelajar dari dua sekolah berasingan seorang dari Taman Pelagat, Seberang Jertih dan Kampung Lahar, Gong Kepas.

“Seorang lagi suspek tidak bersekolah beralamat di Kampung Nyior Tujuh Jertih dan kesemua mereka ditangkap di lokasi berasingan antara jam 10 hingga 11 malam hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah kereta Honda Jazz dipercayai milik bapa salah seorang pelajar terbabit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Ketiga-tiga mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Sumber: GPS Bestari

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers