Friday, 10 March 2017

Cubit, pulas telinga dilarang, rotan masih boleh - NUTP

PETALING JAYA: Guru disekolah dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mendisiplinkan pelajar, selepas kes di Pulau Pinang di mana seorang ibu menampar guru sekolah rendah.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengingatkan garis panduan Kementerian Pendidikan yang tidak membenarkan beberapa jenis hukuman ke atas murid.

“Menyentuh macam mencubit tidak dibenarkan oleh kementerian. Sebab itu ada guru yang pulas telinga itu kena tindakan,” kata Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak kepada FMT.

Mahkamah Majistret Nibong Tebal baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang wanita yang menampar guru sekolah rendah anaknya.

Tan Seow Yen, 35, dituduh menyebabkan kecederaan kepada L Vanitha, 38, guru di sekolah jenis kebangsaan di Sungai Bakap pada 2 Februari 2015.
Kamarozaman berkata, hukuman merotan masih dibenarkan.

“Jadi guna undang-udang yang diberikan sedia ada. Biar pengetua ambil tindakan. Pengetua sahaja yang berkuasa di sekolah,” katanya.

Kamarozaman bimbang keputusan kes mahkamah itu menjadikan hubungan ibu bapa dan pihak sekolah renggang.

“Walaupun nampak kecil, tapi bila dah jatuh hukum sudah tentu ibu bapa akan menyokong ibu bapa. Hubungan ibu bapa dengan guru itu juga akan menjadi negatif,” katanya, yang bagaimanapun berkata ia merupakan kes terpencil.

Beliau pada masa sama turut menyatakan wujudnya perbezaan ibu bapa di “zaman dahulu dan kini” dalam aspek hubungan guru-murid.

“Zaman dahulu ibu bapa memberikan kerjasama. Sekarang dia terlalu membela anak-anaknya. Kadang-kadang pelajar ada sesetengahnya yang hiperaktif, macam-macam perangai.

“Kalau dia betul-betul sebagai ibu bapa, dia mesti menyokong guru dan bukan menyokong anaknya 100%.

“Bila dah rasa marah, jadi dia tamparlah guru itu. Perkara sebegini tak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sumber FMT

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers