Thursday, 16 February 2017

Tak munasabah, CUEPACS bantah idea kecilkan saiz sektor awam

KUALA LUMPUR: CUEPACS kecewa dengan pihak tertentu yang suatu ketika dahulu pernah bergelar penjawat awam mahu Kerajaan bertindak mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, menolak cadangan itu yang dianggap tidak munasabah kerana tidak prihatin terhadap nasib kakitangan bawahan seperti golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, zaman kini berbeza dengan sebelumnya seiring pertambahan penduduk dan pelancong luar yang sekali gus menjadikan tugas kakitangan awam kian berlambak.

"Situasi semakin membebankan apabila ada jabatan yang kekurangan kakitangan seperti sektor pendidikan dan kesihatan. Bayangkan, seorang guru terpaksa mengajar lebih 40 pelajar dalam satu masa dan manakala seorang doktor terpaksa merawat ramai pesakit di klinik daerah.

"Saya hairan, ....kenapa cadangan ini timbul pada tempoh 'idah' nak dekat Pilihan Raya Umum (PRU). Sebagai seorang pesara, beliau (Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim) sepatutnya sumbang idea bagaimana untuk tingkatkan dedikasi, produktiviti dan integriti kakitangan awam.

"Saya juga berharap cadangan ini bukan bibit-bibit mahu swastakan jabatan tertentu. Tolong ambil iktibar dasar penswastaan sebelum ini yang merugikan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kongress Khas di Wisma CUEPACS, di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mencadangkan Kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam selagi mampu berbuat demikian.

Katanya, langkah itu perlu supaya Malaysia tidak terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku di Greece.

Sehubungan itu, Azih meminta pihak tertentu tidak membandingkan Malaysia dengan Greece kerana ekonomi negara ini masih kukuh menyaksikan tiada keperluan untuk membuang atau mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Katanya, saiz kakitangan awam di negara lain kecil berikutan kerajaan mereka mengasingkan sektor kesihatan, pendidikan, polis dan tentera di bawah perkhidmatan awam.

"Dalam konteks perkhidmatan awam di negara ini, sektor pendidikan memiliki sekitar 450,000 kakitangan, kesihatan (270,000), polis dan tentera pula antara 200,000 hingga 300,000 kakitangan.

"Kalau empat sektor itu diasingkan maka memang jumlah (perkhidmatan awam) akan kecil. Kita rasa tidak adil untuk bezakan. Sektor berkenaan penting meskipun Kerajaan berhadapan kekangan kewangan atau sebagainya," katanya.

jobs from my.neuvoo.com

Google+ Followers